Angkatan Muda Harapan gesa semua Menteri, Timbalan Menteri BN letak jawatan Kabinet

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan susulan perkembangan politik yang menyaksikan BN bekerjasama secara terbuka dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, AMH mendakwa kerjasama tersebut menunjukkan BN tidak lagi menghargai kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut AMH, tindakan BN bekerjasama dengan PN membuktikan parti itu lebih mengutamakan percaturan politik jangka pendek berbanding komitmen terhadap kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Kenyataan itu turut menempelak ucapan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyifatkan sokongan pengundi terhadap calon BN dan PN di peringkat negeri sebagai medan menguji formula kerjasama yang berpotensi diterjemahkan ke peringkat nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

AMH berpandangan kenyataan tersebut menunjukkan kerjasama BN-PN bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu yang menimbulkan persoalan terhadap komitmen BN dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pengakuan Pengerusi BN menunjukkan bahawa kerjasama BN-PN bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu,” menurut kenyataan itu.

AMH turut mendakwa BN gagal menghargai semangat kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun diberikan pelbagai jawatan penting dalam kerajaan termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri.

Sebagai perbandingan, AMH berkata kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang diterajui PH tetap memperuntukkan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kepada BN selepas Pilihan Raya Negeri 2023 sebagai menghormati semangat Kerajaan Perpaduan.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan BN yang didakwa berulang kali menguji kesabaran rakan dalam kerajaan menimbulkan persoalan mengenai komitmen sebenar parti tersebut terhadap gabungan sedia ada.

Sehubungan itu, AMH menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri BN meletakkan jawatan supaya parti itu dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuhkan kerjasama politik dengan PN tanpa menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

AMH turut mendakwa langkah itu dapat mengelakkan kekeliruan rakyat terhadap pendirian BN serta mengurangkan risiko berlakunya percubaan mengubah jajaran politik yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.

Menurut kenyataan itu, rakyat lebih menginginkan sebuah kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat berbanding persaingan politik yang berterusan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan merangkap Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Danish Hairudin; dan Pengarah Biro Komunikasi WARDA, Syazana Nasir.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat