Lampu hijau HPUSM kembali menyala selepas tujuh tahun, hormati penderma organ

KOTA BHARU – Selepas tujuh tahun tidak dinyalakan, lampu hijau di pekarangan pintu masuk Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) di Kubang Kerian kembali menerangi kawasan itu pada malam tadi, sebagai penghormatan kepada seorang pemuda yang menjadi penderma organ.

Pencahayaan berkenaan merupakan tanda penghargaan terhadap pengorbanan Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23 tahun, yang dilaporkan mengalami kecederaan otak serius selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

HPUSM dalam satu kenyataan memaklumkan, pengesahan kematian otak pemuda berkenaan dibuat oleh Pakar Anestesiologi dan Pakar Neurosurgeri mengikut protokol perubatan yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, proses pendermaan organ hanya diteruskan selepas mendapat persetujuan penuh daripada ahli keluarga Allahyarham.

Susulan itu, pembedahan pendermaan organ dimulakan pada tengah malam Khamis dengan kerjasama beberapa pasukan perubatan dan agensi berkaitan.

Operasi berkenaan melibatkan pasukan pakar perubatan HPUSM, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Pusat Transplan Nasional (NTC).

Menurut HPUSM, pengorbanan Allahyarham diharap dapat memberikan sinar kehidupan baharu kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ di seluruh negara.

Pihak pengurusan serta seluruh warga kerja hospital itu turut merakamkan ucapan takziah dan penghargaan kepada keluarga Allahyarham atas keikhlasan serta keberanian membuat keputusan besar berkenaan.

Sementara itu, HPUSM memaklumkan, pencahayaan lampu hijau tersebut turut menjadi sebahagian daripada inisiatif hospital berkenaan dalam menyokong kempen kesedaran pendermaan organ kebangsaan.

Ia juga bertujuan memperingati jasa penderma organ yang disifatkan sebagai wira tidak didendang kerana pengorbanan mereka memberi harapan kepada insan lain untuk meneruskan kehidupan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat