Hutang peneroka Felda: Muhyiddin hantar notis undang-undang kepada Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Tan Sri Muhyiddin Yassin menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim kemukakan bukti bahawa Perdana Menteri telah menandatangani surat atau dokumen selaku Menteri Kewangan bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Bahkan Presiden Bersatu itu juga menuntut permohonan maaf dalam tempoh 24 jam daripada Perdana Menteri atas fitnah yang dilemparkan kepada beliau kononnya pelupusan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak dilaksanakan era pemerintahan Presiden Bersatu itu.

Selain itu juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim memadam semua siaran kenyataan dari akaun Facebook, laman web dan platform semua kenyataan fitnah berkenaan.

Menurut surat peguam yang mewakili Muhyiddin itu, anak guamnya juga meminta Anwar memberi akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan fitnah tersebut dan apa-apa fitnah lain pada masa depan.

Bahkan Muhyiddin juga meminta Anwar membayar ganti rugi dalam jumlah yang dipersetujui beliau dan sekiranya tidak dipatuhi tindakan undang-undang akan diambil.

Ini selepas Anwar mendakwa pelupusan hutang itu gagal dilaksanakan sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Ia sebahagian daripada tuntutan yang dikemukakan peguam Muhyiddin dalam surat tuntutan bertarikh semalam, yang turut memberi tempoh 24 jam kepada Anwar untuk mendedahkan dokumen atau surat yang ditandatanganinya bagi melupuskan hutang peneroka.

“Ambil perhatian bahawa sekiranya Datuk Seri (Anwar) gagal mematuhi tuntutan- tuntutan di sini dalam tempoh yang dinyatakan di atas, kami diarahkan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri, termasuk tetapi tidak terhad kepada menuntut ganti rugi dan relif injunksi tanpa notis lanjut kepada Dato Sri,” menurut surat yang dihantar oleh firma guaman itu.

Tindakan ini susulan ucapan Anwar ketika majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang pada 7 Julai lalu, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan Muhyiddin tidak disertai sebarang kelulusan.

Sebaliknya, kata Anwar lagi, Muhyiddin hanya sekadar membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

Muhyiddin bagaimanapun menyangkal kenyataan Anwar itu dan menyifatkannya sebagai pembohongan besar.

“Inisiatif pelupusan hutang peneroka Felda kepada Felda yang bernilai RM8.3 bilion ini telah diketahui umum dan disahkanoleh ramai peneroka Felda yang telah pun menikmati faedah pelupusan tersebut.

“Hal ini dinyatakan pada 2021 dalam pemberitahuan pertanyaan bukan lisan Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa 87.54 peratus daripada 112,638 peneroka Felda telah menandatangani Perjanjian Penghapusan Pinjaman dan Pengurusan Kebun antara Felda dan Peneroka,” kata surat firma guaman itu lagi.

Bahkan turut dipetik jawapan Parlimen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 23 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang itu sudah dilaksanakan pada Julai 2021.

Kemudiannya, Anwar mengakui terdapat persetujuan untuk memansuhkan hutang peneroka Felda ketika pentadbiran Kerajaan PN, tetapi peruntukan itu tidak dibentangkan dalam belanjawan negara pada 2021 dan 2022.

“PN tak ada peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda. I stand by this record. Hanya dalam Belanjawan Madani untuk 2023, saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang Felda yang hutang peneroka jumlahnya RM8.3 bilion ini,” katanya sambil menegaskan beliau meluluskan hutang peneroka Felda pada penghujung Jun tahun ini.

Kementerian Kewangan pada 28 Jun lalu mengumumkan telah memeterai perjanjian melibatkan jaminan kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

Jaminan kerajaan itu ditandatangani oleh Anwar selaku Menteri Kewangan.

Sementara itu, dalam surat tuntutan itu, peguam Muhyiddin berkata kenyataan fitnah Anwar bertujuan dengan niat untuk mencemar, merosakkan dan menjatuhkan reputasi anak guam mereka.

“Anak guam kami menyatakan bahawa kenyataan fitnah tersebut oleh Datuk Seri yang membawa maksud yang dinyatakan di atas telah dibuat secara semberono yang menunjukkan kejahilan Datuk Seri sebagai menteri kewangan yang tidak memeriksa fakta sebenar sehingga mengakibatkan Datuk Seri membuat kenyataan yang palsu, bohong dan mengelirukan,” kata surat peguam Muhyiddin itu.

Setakat ini Anwar masih belum memberi sebarang reaksi balas berhubung tuntutan Muhyiddin ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat