KUALA LUMPUR- Transaksi penipuan bernilai RM10.4 juta membabitkan penjawat awam dari sebuah Jabatan Persekutuan antara kes yang pernah direkodkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).
Akauntan Negara Nor Yati Ahmad berkata, jumlah dikesan itu melibatkan siasatan terhadap transaksi penipuan yang melibatkan dana awam dari tahun 2019 hingga tahun lalu dengan membawa kepada pemulihan kerugian kira-kira RM18 juta.
Kata beliau, kebanyakan modus operandi penipuan perakaunan melibatkan manipulasi prosedur dan proses kewangan serta pengubahan sistem seperti sistem perakaunan dan pengurusan kewangan.
“Jabatan ini, selain mengambil tindakan agresif berdasarkan laporan daripada pihak ketiga dan sumber lain, turut mengamalkan pendekatan proaktif dengan memanfaatkan teknologi digital semasa.
“Ini termasuk menganalisis data kewangan untuk mengesan petunjuk awal (red flags) dan mengenal pasti kejanggalan dalam transaksi yang dilihat mencurigakan atau luar biasa,” katanya dalam sidang akbar selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP).
Beliau berkata, pihaknya sedang melaksanakan perkara ini dan akan terus melakukannya.
“Malah, kami telah menjadikannya sebahagian daripada proses kerja standard di Jabatan Akauntan Negara di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, JANM memberikan komitmen penuh untuk menyokong dan membantun KKFP ini dalam mencapai objektif yang telah digariskan.
“Kami percaya bahawa melalui sinergi strategik ini, usaha membanteras fraud dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan menyeluruh,” kata beliau lagi.