KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa antara prinsip utama Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ialah projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi perundingan dengan pemilik untuk mendapatkan persetujuan menyertai projek.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menjelaskan beberapa persoalan
yang dibangkitkan terkait RUU PSB, ini terutamanya mengenai dakwaan mengatakan pemilik asal kediaman terutama orang Melayu dan Bumiputera akan hilang hak
mereka apabila undang-undang ini dilaksanakan.
“Ada juga persoalan mengenai bagaimana pemilik asal mampu untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui dengan harga yang mencecah ratusan ribu ringgit.
“Selepas persetujuan, pemilik akan menerima semula hartanah berkenaan yang telah diperbaharui, pampasan, manfaat sara hidup serta beberapa manfaat lain semasa peringkat permbinaan dan selepas pembinaan diselesaikan,” katanya.
Menurut beliau lagi, Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan RUU PSB ini akan memastikan rumah yang telah diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan.
Selain itu katanya, nilai pampasan hartanah yang akan diperolehi oleh pemilik pula ialah berdasarkan kepada nilai pasaran masa hadapan, sekali gus membantu mereka untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui.
“Ini berbeza berbanding situasi semasa, di mana pampasan yang diputuskan oleh perunding atau mahkamah adalah berdasarkan nilai semasa, menyebabkan pemilik tidak mampu memiliki rumah baharu yang harganya jauh lebih tinggi daripada pampasan.
“Selain pampasan yang jauh lebih tinggi berbanding kaedah semasa, RUU PSB juga akan memastikan pelbagai bentuk pampasan atau manfaat diberikan kepada pemilik, antaranya bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia renovasi hartanah sedia ada dan bayaran-bayaran lain bagi membantu sara hidup pemilik sepanjang tempoh pembinaan, sekali
gus memastikan apa jua pembangunan semula menitik beratkan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada gagasan Madani.
“Ini bermakna tidak benar persepsi mengatakan undang-undang PSB ini akan menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera hilang tempat di bandar, atau undang-undang ini memberi keutamaan kepada pemaju,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu sebaliknya PSB ini digubal untuk melindungi hak pemilik dengan memastikan pampasan yang adil dan jauh lebih tinggi berbanding sekarang, untuk melindungi hak dan mengangkat martabat rakyat terutama orang Melayu di bandar, untuk memastikan miskin bandar terutama orang Melayu hidup dengan lebih bermaruah ketimbang dibiarkan hidup berhimpit selama puluhan tahun tanpa penyelesaian.
“RUU PSB ini adalah penyelesaian kepada pergelutan antara rakyat dan pemaju yang berlaku sejak sekian lama,” ujarnya.