KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa ini boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara yang bertamadun.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memberitahu Anwar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini menitipkan pesanan dan teguran
berkait insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar kerana makan di khalayak ramai baru-baru ini.
“Sebarang tindakan seperti ini, atau seumpama dengannya, perlu dihentikan semata-mata kerana ia bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya, terutama di bulan Ramadan, sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan,” katanya pada Rabu.
Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas berkenaan kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor.
Berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.
Pemuda itu yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa telah dimarahi warga emas berkenaan yang kemudian turut menamparnya beberapa kali.