KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan terperinci serta telus dalam kes membabitkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ia dikemukakan kepada mahkamah.
Justeru, veteran Umno itu meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan sebaiknya.
“Kita tunggu keputusan SPRM,” katanya lapor BH di Gua Musang.
Ku Li berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kes rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Dalam pada itu, Razaleigh memaklumkan pihaknya tidak tahu sama ada Ismail Sabri terlibat secara langsung dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang disiasat SPRM itu atau dilibatkan dengan tujuan politik.
Apa yang pasti, katanya kes ini memang memberi kesan kerana sebelum ini rakyat sudah mendengar kes membabitkan bekas Perdana Menteri, menteri dan pegawai kanan kerajaan.
“Kes pertama dan kedua (babitkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sudah beri kesan buruk kepada rakyat dan parti (Barisan Nasional).
“Kita harap keadaan jadi reda, tetapi tiba-tiba kes ini (babitkan Ismail Sabri) pula timbul. Kita nak pertahan atau tidak pun susah. Kita tunggu keputusan SPRM,” katanya.
Terdahulu media melaporkan SPRM menyita wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram (kg) jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri.
Sitaan itu dibuat hasil penggeledahan di kediaman empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri yang ditahan selain tiga lokasi lain termasuk premis yang dijadikan ‘safehouse’.