KUALA LUMPUR – Sepanjang bertugas sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang saksi mengaku inilah kali pertama dalam pengetahuannya, seorang ahli politik berdepan pertuduhan sebanyak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selepas pertukaran kerajaan.
Memetik Malaysiakini Khairudin Kilau, saksi ke-99 perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Zahid, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Hisyam Teh Poh Teik.
Khairudin adalah saksi terakhir pendakwaan dalam kes itu.
Hisyam: Dalam tempoh 20 tahun (bertugas sebagai pegawai SPRM), adakah Tuan Khairudin dapat lihat atau baca dari mana-mana tempat, bahawa seorang ahli politik, selepas kerajaan ditukar, telah dituduh sebanyak 47 pertuduhan.
Khairudin: Dalam pengetahuan saya, tiada.
Hisyam: Ini pertama kali?
Khairudin: Pengetahuan saya, pertama kali.
Ahmad Zahid pada awalnya dihadapkan dengan 45 pertuduhan pada 19 Oktober 2018, sebelum dikenakan dua pertuduhan tambahan pada Disember 2018 dan Februari 2019.
Untuk rekod, Bekas Ketua Menteri Sabah,Tan Sri Musa Aman pernah dihadapkan ke mahkamah untuk 51 pertuduhan membabitkan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram, sebelum berkurangan menjadi 46 pertuduhan kerana lima pertuduhan ditarik balik.
Kemudian, semua 46 pertuduhan digugurkan pada Jun tahun lepas.
Dalam pemeriksaan balas sama, Hisyam mencadangkan kepada Khairudin, pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas Ahmad Zahid sebenarnya tidak mempunyai asas dari segi fakta dan undang-undang.
Cadang Hisyam juga, kesemua pertuduhan ke atas Ahmad Zahid, dimulakan selepas pertukaran kerajaan – daripada BN kepada PH – dan semua pertuduhan tersebut adalah bermotifkan politik.
Pertuduhan itu, katanya, dikenakan memandangkan Ahmad Zahid merupakan presiden Umno pada masa material.
Hisyam turut mencadangkan kepada Khairudin, pertuduhan seperti yang dikemukakan ke atas Ahmad Zahid itu akan menjatuhkan nama baik sesiapa pun juga orang yang menghadapinya.
Khairudin tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan tersebut.
Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.
Khairudin merupakan pegawai penyiasat yang bertanggungjawab terhadap 12 pertuduhan pecah amanah dihadapi Zahid.