Bunyi mantap Samsung Galaxy Buds Pro

TREND ketika ini jika ada sesuatu telefon bimbit yang dilancarkan, pasti ada juga peranti iringannya atau aksesori seperti fon telinga tanpa wayar.

Begitu juga dengan Samsung yang baru-baru ini melancarkan barisan Galaxy S21, konglomerat terkemuka Korea Selatan itu juga memperkenalkan fon telinga tanpa wayar Galaxy Buds Pro.

Gah dilancarkan membawa bersama jenama Galaxy yang sudah pasti tahapnya dalam kategori premium.

Penguji dibekalkan dengan Buds Pro berwarna hitam daripada tiga pilihan warna yang ditawarkan di pasaran.

Di dalam kotaknya cuma ada set fon telinga bersama kekotak khusus yang juga bertindak sebagai unit pengecas semula.

Terdapat juga kabel data USB dan dua pasang getah gantian berlainan saiz bagi bahagian Buds Pro yang masuk ke dalam lubang telinga.

Getah itu mudah dipasang mengikut keselesaan pengguna kerana saiz lubang telinga pun berbeza antara seorang pengguna dengan pengguna lain.

Selain itu, turut disertakan buku panduan ringkas dan kad jaminan.

Proses memadankan Buds Pro dengan telefon bimbit sangat mudah. Sebelum itu kena pastikan fungsi penyambungan Bluetooth telefon anda diaktifkan.

Kena pastikan juga bateri Buds Pro sudah penuh. Lampu merah kekotak pengecas itu akan menyala apabila kabel disambungkan ke punca kuasa dan bertukar biru apabila sudah penuh.

Paling penting, pengguna mestilah memindah turun aplikasi Galaxy Wearable ke dalam telefon bimbit untuk membolehkan padanan dibuat antara dua peranti itu.

Kemudian masukkan kedua-dua belah Buds Pro ke dalam kekotaknya dan tutup. Buka semula kekotak itu dan ia akan masuk ke dalam mod padanan Bluetooth secara automatik. Dan satu tetingkap untuk proses padanan akan keluar pada skrin telefon bimbit.

Sentuh ikon ‘Connect‘ dan ikut arahan seterusnya. Selesai proses padanan, maka bolehlah letakkan unit fon telinga Buds Pro itu ke lubang telinga mengikut label yang tertulis. Label ‘R’ untuk telinga kanan dan ‘L’ untuk telinga kiri.

Penguji kena tukar bahagian getah yang masuk ke lubang telinga dengan unit gantian yang lebih kecil. Mudah saja, cabut dan pasang yang lebih kecil. Baru selesa, jika tidak pengguna akan berasa sakit apabila terlalu lama digunakan.

Sebaik dipasangkan ke dalam telinga, suasananya terus berubah kerana begitu senyap dan kedap.

Dua jenis ujian yang penguji lakukan iaitu mendengar lagu dan membuat panggilan telefon. Kedua-duanya berjalan lancar dan sangat jelas. Bunyi bass yang mantap dan perincian setiap alat muzik digunakan daripada fungsi ‘treble.’ Penguji lihat semula lampiran fakta mengenai Buds Pro ini dan ia disahkan oleh unit speaker dua laluan iaitu ‘woofer‘ 11mm dan ‘tweeter‘ 6.5mm. Patutlah sedap dan mantap bunyinya.

Mendengar lagu sambil berjoging atau melakukan aktiviti sukan sangat lazim dilakukan oleh pengguna sekarang.

Penguji pun tidak mahu ketinggalan. Berjoging di Taman Tasik Titiwangsa yang agak sibuk dan ramai orang pada hujung minggu. Sudah tentu suasana keliling agak bising dengan riuh rendah anak kecil bermain bersama keluarga dan bunyi kenderaan yang lalu lalang di kawasan sekitar.

Ada juga penguji di dalam gimnasium yang agak bingit dengan lagu dari pembesar suara pusat berkenaan.

Namun, Galaxy Buds Pro berfungsi dengan baik. Memberikan keselesaan berjoging dan bersenam sambil menikmati lagu-lagu kegemaran. Ia dilengkapi fungsi memadam bunyi sekeliling menjadikan muzik anda kedengaran sangat jelas dan terperinci.

Satu lagi fungsi istimewanya ialah memperlahankan tahap bunyi lagu yang kita mainkan apabila kita sedang bercakap dengan orang lain.

Tapi ia tidak berlaku serta merta. Fungsi itu aktif selepas pengguna membalas percakapan dengan orang lain. Ia tidak berfungsi jika hanya orang lain itu yang bercakap. Fungsi itu menjadikan perbualan pengguna menjadi lancar tanpa gangguan dan pengguna tidak menjerit ketika membalas perbualan bersama rakannya.

Kurang menariknya apabila kita cuba ikut menyanyi. Tiba-tiba volume menjadi perlahan kerana ia mengesan suara kita seolah-olah kita sedang bercakap dengan orang lain.

Aplikasi Galaxy Wearable itu bukan hanya digunakan untuk padanan, tapi juga untuk kawalan bunyi serta pelbagai fungsi Buds Pro. Fungsi pemadam bunyi sekeliling itu juga boleh dimatikan jika tidak mahu.

Ada juga tap penyeimbang bunyi atau Equaliser dengan enam pilihan pelarasan iaitu Normal, Bass boost, Soft, Dynamic, Clear dan Treble boost. Ikutlah selera pendengaran masing-masing.

Manakala setiap unit fon telinga Buds Pro ini dilengkapi panel peka sentuhan di permukaannya. Ia lebih kepada kawalan main semula lagu. Contoh, tap sekali ia akan memulakan atau memberhentikan lagu yang dimainkan, tap dua kali untuk melangkau ke lagu lain dan tap tiga kali untuk mengulang semula lagu yang sebelum itu.

Fungsi tap itu juga boleh mengawal volume suara. Tapi terlebih dahulu buat pelarasan pada aplikasi Galaxy Wearable. Ada tiga pilihan di situ iaitu suis kawalan bunyi bising, arahan suara dan volume suara. Pilihlah yang mana satu.

Penguji berpendapat, uji pakai ini sangat berjaya dan mudah. Boleh dirumuskan sebagai peranti audio yang mantap dan mesra pengguna.

Jika anda sedang mencari peranti fon telinga tanpa wayar, pertimbangkan Samsung Galaxy Buds Pro dan pastinya anda tidak rugi dan menang memakai.

Harian Metro

Topik Hangat

UMNO 3.0 Sedia Singkir Zahid, Najib Termasuk Mat Hasan Ogos Ini : Laporan

KUALA LUMPUR - Spekulasi tersebar luas berkait rancangan yang sedang berjalan untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Datuk...

50 Buffet Ramadhan 2021 Kuala Lumpur Selangor

Bulan puasa kini menjengah, namun sudahkah anda jumpa destinasi buffet untuk sesi iftar nanti? Atau anda masih tercari-cari destinasi buffet yang mana yang patut anda...

Pergi Jahanam Dengan Arahan Ahmad Maslan – Nazri Aziz

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memaklumkan beliau dilarang membuat kenyataan tentang UMNO. Bercakap kepada sebuah portal, Nazri berkata larangan...

Berita Berkaitan

Penunggang Agama kutip RM2 juta, tayang di Singapura esok

Kuala Lumpur: Filem Penunggang Agama berjaya meraih kutipan RM2 juta dalam tempoh dua minggu ditayangkan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, sejak 25 Mac...

Selena Gomez di konsert vaksin

Los Angeles: Penyanyi Selena Gomez menjalin kerjasama dengan festival muzik Global Citizen untuk mengadakan konsert berjudul Vax Live: The Concert to Reunite the World...

‘Netizen ni kelakar lah’ – Rita Rudaini

Kuala Lumpur: "Takkan saya nak letak gambar Hyun Bin. Pengsan pula cikgu anak saya." Itu kata pelakon popular Rita Rudaini yang mendapat kecaman netizen susulan...