Pemimpin Bersatu Bimbang Hilang Kuasa, Khuatir UMNO Mula Bertegas – Laporan

- Advertisement -

CYBERJAYA – Sebilangan pemimpin di peringkat akar umbi Bersatu (PPBM) dilaporkan melahirkan rasa bimbang kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan parti itu mungkin runtuh dan hilang kuasa dalam masa terdekat.

Memetik laporan FMT, pemimpin Bersatu yang dihubungi mengakui khuatir UMNO yang sering bersikap mengalah dan bertolak ansur sebelum ini, akan mula mengambil sikap bertegas selepas apa yang berlaku dalam PRN Sabah tempohari.

Mereka merasakan kepimpinan Bersatu harus akur jika mahu kekal berkuasa selepas UMNO baru-baru ini menuntut kerjasama yang lebih saksama dan akan memberi syarat baharu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

“Pemimpin parti perlu faham UMNO mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen. Sekiranya mereka menarik diri, kerajaan akan runtuh.

“Kami tidak tahu hasil pertemuan itu, tetapi kami berharap (Tan Sri) Muhyiddin melakukan yang terbaik untuk parti,” kata laporan itu, yang memetik kenyataan seorang Ketua Bahagian Bersatu di Lembah Klang.

Pemimpin Bersatu itu turut menyarankan supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri yang kosong ketika ini diberikan kepada UMNO sebagai salah satu cara mengekalkan sokongan UMNO kepada kerajaan PN pimpinan Bersatu.

“Kami dengar UMNO minta jawatan timbalan perdana menteri. Mengapa tidak memberikannya kepada mereka? Ini akan menyelamatkan gabungan,” katanya.

Laporan sama turut memetik kenyataan ketua cawangan Bersatu yang mengakui pengaruh dan peranan besar yang dimainkan UMNO dalam menyokong kerajaan PN yang dipimpin Bersatu ketika ini.

“Kami parti kecil. Kami memutuskan untuk bekerjasama dengan UMNO. Sekarang jika mereka mahu jawatan timbalan perdana menteri, kita mesti bersedia untuk bersetuju.

“Jika tidak, kita mungkin akan kehilangan pemerintahan,” ujarnya.

Seorang lagi pemimpin peringkat cawangan pula mengakui kekecewaan meningkat di kalangan ahli akar umbi Bersatu.

“Pemimpin tidak memberi kami apa-apa atau kepada parti lain,” katanya, merujuk kepada kenyataan UMNO yang menimbang menarik balik sokongan kepada PN jika tiada keadilan dalam kerjasama tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Utusan melaporkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengambil inisiatif tertentu dalam masa terdekat bagi mengekalkan sokongan UMNO kepada kerajaan PN pimpinannya.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, UMNO sudah cukup bertolak-ansur dan UMNO tidak akan membuat tindakan drastik jika kerjasama itu terjalin dengan baik.

”Ahli-ahli UMNO melihat Bersatu cuba ‘menelan’ UMNO, selepas usaha Dr Mahathir ‘membunuh’ UMNO ditentang habis-habisan oleh ahli-ahli dan penyokongnya.

“Bila ‘dibelasah’ sehingga ke dinding sehingga sukar ‘bernafas’, adakah kita mengharapkan UMNO terus bersabar. Sudah tentu tidak. Kali ini UMNO bangun kerana kesabaran ada hadnya,” ujarnya.

Dalam pada itu Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan rundingan terbaru antara parti itu dengan Bersatu ketika ini merupakan peluang akhir selepas beberapa kali UMNO dipermainkan.

“Kami tidak berpuas hati kerana Bersatu adalah parti yang tiada akar umbi, tetapi mereka mahu menjatuhkan UMNO dan melemahkan Muafakat Nasional.

“Bersatu telah ‘mencuri’ 15 wakil rakyat UMNO, merampas jawatan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Besar Perak, malahan membolot jawatan ketua-ketua kampung.

“UMNO berharap kerajaan jangan mendakwa secara selektif, tetapi harus siasat semua pemimpin yang ada kes termasuk video seks dan mereka yang didakwa menggunakan duit untuk menarik wakil rakyat lompat parti,” katanya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat