Program Jiwa Murni MALPTAAC perkasa semangat kesukarelawanan, kesejahteraan komuniti

Oleh Zihan Zari

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Rejimen Askar Wataniah (RAW) telah menganjurkan Program Jiwa Murni MALPTAAC 17/2026 (Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp) di 11 buah lokasi terpilih sekitar Gugusan Manjoi, Bandar Baru Bercham dan Bandar Ipoh, dekat sini baru-baru ini.

Program yang bertemakan slogan ‘Bersama Kita Bersih, Bersama Kita Harmoni’, merupakan manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, pasukan keselamatan dan komuniti setempat.

Program berimpak tinggi ini menghimpunkan penyertaan seramai 1,000 orang penuntut dan pegawai daripada 19 buah politeknik seluruh Malaysia yang terlibat dalam pasukan RAW di bawah naungan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Antara pasukan RAW terlibat termasuk REJ 501 AW, REJ 502 AW, REJ 503 AW, REJ 505 AW, REJ 506 AW, REJ 510 AW, REJ 513 AW, dan REJ 514 AW.

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Masjid Gufran Kampung Manjoi, Surau Al-Husseiniah, Surau Al-Hasaniah, Masjid As-Saadah, Masjid Jamek KDAS 3, Surau Al-Ihsaniah, Surau Ahmadiah, Masjid Al-Ittihadiah, Surau Al-Muttaqin, Masjid Sultan Azlan Shah, dan PUO.

Antara aktiviti utama yang akan dilaksanakan ialah kerja-kerja pembersihan kawasan dalam dan luar masjid serta surau, di samping aktiviti mengecat bagi menceriakan dan memperindahkan fasiliti rumah ibadat yang terlibat.

Para peserta telah ditempatkan di lokasi-lokasi yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.

Program ini merupakan antara pengisian utama sempena MALPTAAC Ke-25 (Jubli Perak) dan ia bukan sahaja menjadi platform khidmat bakti kepada masyarakat, malah turut menyemai nilai kepimpinan, disiplin, semangat kesukarelawanan serta perpaduan dalam kalangan peserta.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik PUO, Norman Zamri dan Penghulu Besar, Dr. Mohd Sani Kamaruddin. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat