KLUANG – Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi tidak menyanggah kelantangan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh dalam mengulas isu membabitkan sensitiviti kaum dan agama lain mengundang rasa tidak senang pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Menurut wakil rakyat DAP itu, sememangnya wujud rungutan masyarakat Cina di DUN ini terhadap sikap Dr Akmal yang disifatkan sebagai tidak sensitif meskipun berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun tegas Shu Qi, situasi ‘dingin’ berkenaan tidak semestinya mewakili suara majoriti pengundi Cina di Mahkota.
“Saya tak boleh mewakili mereka (pengundi Cina) untuk cakap benda ni (rasa tidak puas hati terhadap ketua pemuda Umno).
“(Rungutan) itu biasalah,”katanya ketika ditemui pada program walkabout di Pasar Malam Kampung Paya, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang wujudnya ketidakpuasan hati masyarakat Cina terhadap Dr Akmal, sehingga timbul desas-desus tindakan boikot oleh pengundi Cina, terutamanya penyokong Pakatan Harapan (PH) dengan tidak keluar mengundi.
Mengulas lanjut, Shu Qi berkata, isu membabitkan pemimpin luar tidak sepatutnya mempengaruhi sokongan pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN) di PRK DUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah.
Justeru, beliau mengingatkan semua pengundi memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan ekonomi setempat.
Ini kerana ujarnya, kemenangan Syed Hussien bakal memberi isyarat jelas kepada pelabur asing dan tempatan sebagai bukti kestabilan politik Kerajaan Perpaduan.
“Sekarang kita adalah Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini ditubuhkan antara PH dan BN. Kita nak stabilkan politik negara kita, supaya boleh membangunkan ekonomi negara.
“Maka, adalah penting pengundi PH keluar mengundi calon BN supaya calon Kerajaan Perpaduan ini menang di DUN Mahkota dan ini juga adalah satu signal (isyarat) yang jelas kepada pelabur asing dan juga pelabur tempatan supaya dapat membangunkan ekonomi dengan melabur di negeri Johor mahupun seluruh negara,”katanya.