PM Beri Jaminan Komuniti India Tidak Akan Dipinggirkan Dalam Arus Pembangunan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan komuniti India di negara ini tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan.

Mengambil semangat Keluarga Malaysia “no one will be left behind” (tiada siapa akan ketinggalan), Ismail Sabri berkata kerajaan telah meluluskan berbagai peruntukan dan inisiatif bagi masyarakat India khusus untuk membasmi kemiskinan, pembangunan sosial, sosioekonomi dan kesejahteraan kaum itu.

“Antaranya RM100 juta di bawah MITRA (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia) bagi membasmi kemiskinan dan pembangunan sosial masyarakat India di bawah Kementerian Perpaduan. Sebanyak RM25 juta bagi program pembangunan usahawan masyarakat India.

Ini antara inisiatif kerajaan untuk Keluarga Malaysia daripada masyarakat India. Sebagai tambahan terhadap usaha sedia ada mesyuarat Kabinet juga telah meluluskan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (JKMPSI) yang dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

Perdana Menteri berkata penubuhan jawatankuasa itu membuktikan Keluarga Malaysia daripada masyarakat India amat penting dalam pentadbirannya.

Beliau berkata ketika ini MIC sedang membuat libat urus dengan semua pihak berkepentingan sebelum semua cadangan daripada masyarakat India dibawa dalam mesyuarat JKMPSI dalam masa terdekat,

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan pelbagai latihan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula, ekonomi gig serta program-program lain yang memberi manfaat kepada golongan belia India disamping kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta untuk membantu usahawan dan peniaga kecil kaum India.

“Untuk AIMS (Program Mobiliti Antarabangsa Asia untuk Pelajar), sebanyak RM25 juta telah diperuntukkan untuk membantu pelajar-pelajar universiti daripada golongan B40. Perkara ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Walaupun ketika COVID-19 melanda negara tetapi peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tetap diberikan kepada SJKT seluruh negara dengan jumlah RM39 juta. Itu sewaktu COVID-19 dan saya yakin apabila keadaan pulih seperti biasa kita akan berikan peruntukan seperti yang telah kerajaan berikan sebelum COVID-19 melanda negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meluluskan peruntukan RM2 juta untuk pelajar-pelajar kaum India daripada golongan miskin tegar selain beliau bersetuju dengan cadangan Vigneswaran untuk meletakkan MITRA kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri dan penubuhan Yayasan MITRA.

Mengulas mengenai Briged MIC, Perdana Menteri yakin pelancaran Briged MIC Kebangsaan itu mampu menjadi tonik tambahan kepada kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata Briged MIC yang terdiri daripada Wanita dan Pemuda MIC perlu sentiasa bergerak proaktif di setiap kawasan agar dapat menambah bilangan pengundi daripada komuniti India seterusnya memberi kemenangan besar kepada BN.

“Perkara ini membolehkan Briged MIC untuk menjadi satu platform yang bersifat universal dan mendekatkan diri dengan kumpulan sasaran. Langkah pemimpin MIC menubuhkan Briged MIC sejajar dengan tuntutan perkembangan politik semasa terutamanya dengan pelaksanaan Undi 18,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat