KPN Anjur Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Di Sabah

- Advertisement -

NABAWAN – Buat julung kalinya Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengadakan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia peringkat parlimen Pensiangan di Dewan Terbuka Nabawan, Sabah.

Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, program itu merupakan platform Tapak Integrasi bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Penganjuran program itu adalah bagi menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia, sekali gus menjadi platform integrasi untuk membina dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama.

“Di samping itu, kita turut berharap agar lebih banyak program Semarak Uniti Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan di seluruh negara di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bersempena program ini juga, beliau turut melancarkan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga (RT4ALL) di Kg. Karanaan, Sook, Sabah.

“Agenda tersebut diwujudkan bagi memfokuskan kepada kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup, menjaga keselamatan secara inklusif bersama komuniti, memfokuskan kepada amalan penjagaan kebersihan dan keindahan kawasan komuniti dan kepada program amalan gaya hidup sihat,”kataya.

Dalam majlis yang sama, Halimah turut menyampaikan 340 kotak RT Cares kepada penduduk B40 daripada 34 buah KRT di sekitar Nabawan.

Selain itu, setiap KRT dari Parlimen Pensiangan juga turut menerima mesin pemotong rumput bagi pelaksanaan aktiviti gotong-royong Gerak Kerja Bersih dan Indah di kawasan masing-masing.

Program yang berlangsung selama dua hari iaitu bermula 17 hingga 18 September 2022 itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan, termasuk Pameran Rumah KAMI Keluarga Malaysia.

Terdapat tujuh Pameran Rumah KAMI Keluarga Malaysia iaitu Rumah Kaum Kadazan, Kaum Bajau, Kaum Brunei, Kaum Murut, Kaum Rungus, Kaum Cina dan Kaum India.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmy Yahya, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dr. Kang Tong Hum, dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Hajah Norison Ramli.

Sehingga kini, pihak kementerian sudah menggariskan sebanyak 40 program besar dan 106 program di bawah Semarak Uniti Keluarga Malaysia.

Untuk rekod, terdapat sebanyak 117 KRT di Parlimen Pensiangan meliputi tiga daerah iaitu Daerah Keningau, Daerah Nabawan dan Daerah Sook Kecil.

Negeri Sabah juga mempunyai bilangan KRT kedua terbanyak selepas Selangor di Seluruh Malaysia dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,069 KRT.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 8,330 KRT di seluruh negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat