Tiada Panggilan ‘Mayday’ Mungkin Kerana Juruterbang Sedang Cuba Kawal Pesawat – Pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiada panggilan kecemasan atau mayday daripada juruterbang pesawat yang terhempas di Elmina di Shah Alam pada Khamis, mungkin disebabkan juruterbang sedang berusaha mengatasi masalah yang timbul secara tiba-tiba.

Pakar penerbangan dan bekas juruterbang, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussein berpendapat, terdapat kemungkinan masalah timbul selepas pesawat itu diberikan kebenaran untuk mendarat.

“Dalam kejadian ini, komunikasi terakhir adalah pesawat diberi kebenaran mendarat. Ini bermakna pesawat stabil untuk mendarat, mungkin flap pun sudah keluar, saya tak pasti, mungkin tayar sudah keluar tetapi nampak dari video macam belum keluar… tetapi itu bukan perkara pelik kerana ada sesetengah juruterbang (akan keluarkan) tayar sedikit lewat.

“Jadi sampai ke peringkat juruterbang dapat landing clearance, tak ada masalah. Tetapi dua minit selepas itu, kecelakaan terjadi. Jadi ada kemungkinan masalah terjadi dalam tempoh dua minit itu.

“Tak ada panggilan mayday… kerana apabila terjadi kecemasan, juruterbang perlu buat tiga perkara, iaitu aviate, navigate dan communicate.

“Kawal pesawat, kalau dapat kawal, tengok hala tuju pesawat, pastikan tidak menuju ke bukit dan sebagainya. Selepas itu kita akan berhubung dengan tower, beritahu kita ada masalah.

“Nampaknya juruterbang mungkin bertungkus-lumus sedang aviate atau kawal pesawat, jadi tak ada masa untuk dia bercakap, buat panggilan kecemasan dan mayday sebab fokus dia nak selamatkan pesawat.

“Pada saya benda ini terjadi dalam sekelip mata, mengejutkan sebab juruterbang tak jangka ia terjadi,” katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Jumaat.

Jelasnya lagi, berdasarkan profil penerbangan, tiada sebarang perkara luar biasa berlaku, termasuk dari segi ketinggian, pergerakan dan komunikasi juruterbang, sekali gus mungkin membawa kepada petanda bahawa tiada masalah sepanjang penerbangan.

Beliau juga tidak melihat adanya masalah dari segi usia pesawat itu yang mempunyai tarikh pembuatan pada 2004, atau masalah lain berkaitan muatan dan keseimbangan.

“Penggunaan pesawat peribadi terhad… penggunaan harian bukan macam pesawat komersial Boeing 737 yang dibeli untuk bawa penumpang, sehari naik turun lebih dari 10 kali.

“Pesawat persendirian dari segi penggunaannya kurang, jadi walaupun usia pesawat 20 tahun tetapi ia dijaga seperti yang sepatutnya, saya tidak nampak ada masalah,” ujarnya.

Tragedi pada Khamis itu meragut nyawa 10 individu termasuk seorang kenamaan.
Lapan daripada mangsa ialah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Pesawat malang itu sedang dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat 2.50 petang. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat