Sasaran 3.2 Juta Pelancong Muslim Lawat Malaysia Tahun Ini – MOTAC

- Advertisement -

IPOH – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kedatangan 3.2 juta pelancong Muslim ke Malaysia sepanjang tahun ini.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, jumlah itu merangkumi 20 peratus daripada kemasukan 16.1 juta pelancong asing yang disasarkan kementerian tahun ini.

Menurutnya, sasaran berkenaan yakin mampu dicapai berdasarkan perkembangan positif dan potensi besar pasaran pelancongan Islam yang semakin meluas.

“Daripada keseluruhan kemasukan pelancong asing disasarkan, kita harap dapat capai sekurang-kurangnya 10 ke 20 peratus kehadiran pelancong Muslim.

“Perkara ini tidak mustahil kerana Malaysia menang sudah terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancongan Islam, ditambah kedudukan negara sebagai peneraju kepada Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena perasmian Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2023 di Pusat Konvensyen Casuarina dekat sini pada Jumaat.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islamik (ITC), Nizran Noordin.

Sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa tahun lalu, Malaysia berjaya menarik 10.07 juta pelancong antarabangsa dan daripada jumlah tersebut, 2.12 juta merupakan pelancong Muslim dengan nilai perbelanjaan RM5.37 bilion.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus menggesa semua pihak terutama ITC untuk lebih agresif merancakkan lagi promosi pakej dan produk pelancongan terutama dalam kalangan masyarakat Islam di negara minoriti.

Katanya, aspek tawaran produk dilihat masih belum sampai ke tahap maksimum untuk diterima seluruh masyarakat dunia.

“Itu yang selalu kita lepas pandang, sedangkan sebenarnya ramai di luar sana yang berada dalam negara-negara bukan Islam mahu melancong dan merasai sama pendekatan MFTH ini.

“Saya sudah arahkan Tourism Malaysia untuk bekerjasama dengan setiap negeri mengenal pasti tempat-tempat berkaitan Islam yang memenuhi ruang lingkup pelancongan, kebudayaan, warisan dan makanan,” katanya.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata, Perak berada di landasan tepat nenerajui ekonomi menerusi pelancongan Islam yang merupakan sebahagian daripada pelan tindakan Perak Sejahtera 2030.

“Perak mampu menyediakan pengalaman holistik kepada pelancong Islam dengan tarikan utama beberapa mercu tanda bersejarah antaranya Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Lembah Lenggong, Pulau Pangkor dan Kellie’s Castle,” katanya.

Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai negara utama dalam sektor MFTH di rantau ini oleh State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2022.

Malaysia turut mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi Mesra Muslim utama dalam Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2023, posisi yang dipertahankan sejak indeks tersebut dilancarkan pada tahun 2015.

Pada masa sama, Malaysia turut diiktiraf sebagai Destinasi Utama Mesra Muslim (kategori negara OIC) dan Destinasi Utama Mesra Wanita Muslim di Anugerah Pelancongan Halal (Halal in Travel Awards) 2023. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat