KUALA LUMPUR, 18 Julai – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu mesti terus kekal sebagai sebuah parti pembangkang yang berperanan melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan, sambil menyifatkan wujud kelompangan besar dalam landskap politik negara ketika ini.
Dalam kenyataan yang dimuat naik hari ini, Muhyiddin berkata Bersatu ditubuhkan hasil perjuangan menentang kleptokrasi yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB dan asas perjuangan itu tidak boleh dilupakan.
“Bersatu bermula sebagai parti pembangkang. Perjuangan menentang kleptokrasi yang terkait dengan skandal kewangan terbesar dunia iaitu 1MDB membawa kepada penubuhan Bersatu. Ini asas kewujudan Bersatu,” katanya.
Menurut beliau, kedudukan Bersatu pada hari ini kembali kepada asas penubuhannya sebagai parti pembangkang, malah cabaran yang dihadapi lebih besar kerana disifatkannya sebagai satu-satunya parti pembangkang tunggal di Parlimen.
Muhyiddin berhujah bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sama-sama menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan serta beberapa negeri, manakala kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dengan BN menyebabkan PN secara tidak langsung turut menyokong parti kerajaan.
Beliau berkata, keadaan itu menjadikan Bersatu satu-satunya parti yang bebas untuk memainkan peranan menyuarakan kepentingan rakyat dan mengimbangi kuasa kerajaan.
“Isunya bukan mampu bertahan, tetapi mesti bertahan. Kerana kini ada satu kelompangan yang besar dalam politik Malaysia. Tiada lagi parti yang benar-benar berwibawa untuk melakukan semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan,” katanya.
Muhyiddin turut mengkritik kerajaan berhubung beberapa isu termasuk kenaikan harga diesel dan petrol, kegagalan menangani kos sara hidup secara berkesan serta dakwaan kegagalan melaksanakan reformasi institusi.
Menurut beliau, BN dan PH tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab kolektif terhadap dasar-dasar kerajaan kerana kedua-duanya merupakan sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau turut menyindir UMNO dan BN supaya tidak menutup kelemahan kerajaan dengan menyalahkan pihak lain, sambil mendakwa naratif penyatuan Melayu dan penyatuan ummah hanya digunakan bagi meraih sokongan politik.
“Percayalah, ini hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata orang Melayu dan rakyat demi mendapatkan kuasa,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Muhyiddin menegaskan Bersatu akan terus istiqamah dengan matlamat asal parti untuk membela rakyat dan memajukan negara walaupun berdepan pelbagai cabaran politik.
“Bersatu walaupun berhadapan dengan cabaran dan tentangan yang bukan sedikit, jiwanya mesti besar. Bersatu untuk Malaysia,” katanya.



