KUCHING – Senarai nama calon wanita yang berpotensi mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 telah diserahkan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk pertimbangan.
Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata keputusan muktamad mengenai pemilihan calon, termasuk jumlah wanita yang akan ditampilkan, terletak di tangan Abang Johari selaku Pengerusi GPS.
“Saya berharap lebih ramai wanita diberi peluang untuk bertanding kerana mereka membawa perspektif dan kekuatan tersendiri yang boleh menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran jentera pilihan raya Wanita GPS di ibu pejabat PBB di sini pada 17 November, lapor Bernama.
Fatimah berkata jentera Wanita GPS sudah bersedia menghadapi PRN dengan memanfaatkan pengalaman pilihan raya lalu dan menggunakan teknologi terkini bagi menggalakkan pengundi keluar mengundi.
Beliau berkata semua sayap dalam GPS perlu menggembleng sumber dan bergerak sebagai satu pasukan untuk mendekati pengundi muda. Kerjasama itu juga penting bagi memastikan pengundi daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan kawasan dapat disantuni.
Sementara itu, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata wanita memainkan peranan penting dalam usaha GPS mempertahankan kemenangan, mengambil kira komposisi pengundi lelaki dan wanita di Sarawak yang seimbang.
GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember untuk pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian.


