Tren LRT laluan Kelana Jaya terhad, penumpang berdepan masa menunggu lebih lama

KUALA LUMPUR – Pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berkemungkinan berdepan masa menunggu lebih lama susulan bilangan tren yang beroperasi di laluan berkenaan ketika ini adalah terhad.

Rapid KL menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, keadaan itu juga boleh menyebabkan peningkatan jumlah penumpang di platform stesen, khususnya ketika waktu puncak.

Menurutnya, pasukan kejuruteraan sedang giat menjalankan usaha bagi menambah bilangan tren yang boleh beroperasi secepat mungkin untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan.

“Bilangan tren yang beroperasi di Laluan Kelana Jaya pada masa ini adalah terhad.

“Keadaan ini mungkin menyebabkan masa menunggu lebih lama dan peningkatan jumlah penumpang di platform, terutamanya semasa waktu puncak,” menurut hantaran itu.

Rapid KL memaklumkan, beberapa tren turut akan melaksanakan pergerakan berpatah balik di lokasi terpilih sebagai langkah sementara bagi melancarkan perjalanan penumpang.

Langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan di stesen yang lebih sibuk sementara usaha meningkatkan bilangan tren diteruskan.

Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan memperuntukkan masa tambahan untuk perjalanan masing-masing, selain mengikuti perkembangan perkhidmatan menerusi saluran rasmi Rapid KL.

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad melaksanakan beberapa langkah meningkatkan ketersediaan tren, termasuk program membaik pulih komponen yang kerap mengalami masalah dan penyelenggaraan berfokus bagi mengurangkan kegagalan tren ketika operasi.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis Parlimen pada 2023 turut memaklumkan pelaksanaan program baik pulih tren serta penambahan set tren baharu menerusi projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27).

Prasarana kemudian melaporkan peningkatan jumlah tren tersedia bagi rangkaian relnya daripada 148 kepada 179 unit sepanjang 2024, sekali gus membantu mengurangkan masa menunggu di Laluan Kelana Jaya kepada tiga minit.

Bagaimanapun, Rapid KL tidak memperincikan jumlah tren yang kini boleh beroperasi atau punca sebenar kekurangan tren dalam hantaran terbaharunya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat