JOHOR BAHRU,– Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026 hingga 2031 yang menggabungkan pengalaman, kesinambungan pentadbiran dan tenaga baharu.
Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor berlangsung hari ini selepas mendapat perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Dalam kenyataannya, Onn Hafiz berkata barisan EXCO yang dibentuk itu diharap dapat memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus kukuh, cekap dan berkesan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah diberikan amanah. Pelantikan ini adalah satu tanggungjawab besar untuk terus berkhidmat kepada Bangsa Johor,” katanya.
Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri dilantik menganggotai barisan EXCO dengan portfolio masing-masing.
Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala Mohd Hairi Mad Shah mengetuai Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Mohd Fared Mohd Khalid pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, sementara Ling Tian Soon mengetuai Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar.
Lee Ting Han diberikan tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia.
Mohamad Fazli Mohamad Salleh pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi.
Hasrunizah Hassan mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala Md Israk Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.
Dr Muhammad Naqib Md Ghazali pula diberikan portfolio Pendidikan dan Penerangan, sementara Pannir Selvam Paliksina mengetuai Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya.
Onn Hafiz turut memohon doa seluruh rakyat Johor agar barisan pentadbiran negeri dikurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan petunjuk dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
“Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan dan keredaan-Nya, demi Johor yang terus maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor 2026–2031
1. Dato’ Haji Mohd Jafni Md Shukor
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan
2. Mohd Hairi Mad Shah
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi
3. Mohd Fared Mohd Khalid
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam
4. Ling Tian Soon
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar
5. Lee Ting Han
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia
6. Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi
7. Hajah Hasrunizah Hassan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
8. Md Israk Abdullah
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar
9. Dr Muhammad Naqib Md Ghazali
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan
10. Pannir Selvam Paliksina
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya



