Banjir Baling: Jangan Desak Saya Dedahkan Semua – Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – “Jangan paksa saya dedahkan semua itu, saya tak mahu terus tuduh menuduh kerana saya perlu adil kepada semua,” kata
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi.

Beliau memberi amaran untuk mendedahkan semua nama yang terbabit dalam projek ladang durian Musang King di Gunung Inas, Baling selepas diasak pembangkang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Isnin.

Sanusi (PAS-Jeneri) menegaskan, beliau sudah melihat semua surat kelulusan berkaitan projek terbabit dan mengetahui siapa individu terbabit, namun enggan terus terbabit dalam situasi tuduh menuduh yang berlaku ketika ini.

“Saya hendak tegaskan bahawa kita sedang tunggu laporan jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebelum dapat umum punca kejadian di Gunung Inas.

“Laporan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) saya sudah dapat, saya sudah ada kronologi dan tahu siapa yang menandatangani surat untuk luluskan projek Musang King,” lapor BH di Alor Setar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat menolak dua kali usul dibawa pembangkang berkaitan isu bencana banjir dan kepala air yang melanda Yan tahun lalu dan Baling, baru-baru ini, pada Sidang Dewan DUN Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, beliau memahami desakan pembangkang sengaja mahu membincangkan isu bencana di Gunung Inas berkenaan kerana kerajaan negeri tidak bersedia memberi jawapan yang memuaskan yang kemudian akan membuatkan isu itu dipolitikkan.

Katanya, mengikut peraturan Dewan DUN Kedah, masa yang diperlukan sebelum sesuatu usul dibahaskan adalah 14 hari, namun Juhari tetap memberi peluang kepada pembangkang membacakan usul berkenaan sebelum menolak ia dibahaskan.

“Pembangkang memang boleh ‘balun’ sahaja kerana yang hendak jawab adalah kerajaan. Pendapat peribadi saya mengenai kejadian kepala air Gunung Inas adalah bencana alam, namun ada juga kerja lain yang terbabit serta faktor lain yang tidak dapat kita tangani.

“Saya ucap tahniah kepada pembangkang cuba bawa perkara ini tapi tak berjaya. Kejadian kepala air dan banjir Gunung Inas dan Gunung Jerai pada Ogos tahun lalu adalah sama tapi senario berbeza, di Gunung Jerai tidak ada pembalakan kerana ia Hutan Perlindungan tapi di Gunung Inas ada pembangunan untuk ladang hutan seluas 5,000 hektar.

“Namun, hingga kini hanya sebahagian kecil hutan di Gunung Inas yang ditanam Musang King. Jadi jangan terburu-terburu kerana saya perlu dapatkan semua laporan daripada jabatan berkaitan terlebih dahulu,” katanya.