Agong Cetus Idea Tubuh Pasukan Bencana Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah cetus idea menubuhkan Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara.

Istana Negara dalam kenyataan pada Isnin memberitahu, Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara berlepas ke Baling, Kedah dari Istana Negara pagi hari ini bagi misi menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir buruk baru-baru ini.

“Misi bantuan ini diketuai Juruiring Tentera Laut Seri Paduka Baginda, Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim dan melibatkan seramai 26 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai serta kakitangan Istana Negara dan juga 10 sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers).

“Turut menyertai misi ini, Juruiring Polis Seri Paduka Baginda, SAC Datuk Azry Akmar Ayob,” katanya.

Menurut Istana Negara, sumbangan yang akan dihulurkan berbentuk peralatan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh, pengisar dan periuk nasi serta barang keperluan rumah seperti tilam, selimut dan bantal.

“Pasukan Bantuan Istana Negara turut akan menyampaikan sumbangan berbentuk baju sekolah, alat tulis dan kasut sekolah daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada 396 pelajar Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Al Kahriah di Kupang, Baling, Kedah.

“Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara juga dilengkapi dengan peralatan untuk membantu membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir seperti sekolah dan dewan komuniti,” ujarnya.

Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara ini ditubuhkan atas cetusan idea Seri Paduka Baginda dengan tujuan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang telah hilang tempat berteduh dan mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana atau musibah.

Terdahulu, Pasukan Bantuan Bencana Banjir Istana Negara telah menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati dengan ujian serta keperitan yang ditanggung mangsa banjir di Baling, Kedah dan juga menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka.