KUALA LUMPUR – Republik Argentina dan Malaysia dalam usaha mengukuhkan kerjasama dalam industri halal.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Republik Argentina, Diana Mondino adalah untuk membincangkan peranan JAKIM dalam industri halal Malaysia.
“Saya difahamkan TYT Diana Mondino amat berminat untuk membincangkan peranan JAKIM dalam industri halal Malaysia.
“Oleh itu, saya mengambil kesempatan pagi ini menjemput JAKIM untuk berkongsi pandangan dan perspektif mereka tentang bagaimana Malaysia boleh mengukuhkan kerjasama dalam industri halal bersama Argentina,” kata Mohamad dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau juga amat berbesar hati dengan jalinan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Malaysia dan National Institute of Agricultural Technology (INTA), Argentina dalam memajukan teknologi pertanian untuk meningkatkan kehidupan petani dan pengguna.
“Malaysia melihat potensi kerjasama dengan Argentina cukup besar khususnya dalam pemindahan teknologi dan perkongsian pengetahuan.
“Antara yang dicadangkan adalah perkongsian pengetahuan berkait dengan teknik dan teknologi penanaman terkini.
“Malaysia juga berminat untuk mengetahui lanjut tentang varieti jagung Argentina yang boleh memberikan hasil yang tinggi, mempunyai rintangan perosak dan penyakit, serta penyesuaian yang lebih baik kepada perubahan iklim.
“Dalam pertemuan pagi tadi, saya turut berkongsi bahawa Malaysia akan menganjurkan Pameran Pertanian, Hortikultur & Agropelancongan Malaysia (MAHA) pada 11 hingga 22 September 2024.
“Saya amat berbesar hati untuk menjemput TYT Diana Mondino hadir ke MAHA dan mengalu-alukan kedatangan delegasi dari Argentina bagi memperkukuhkan lagi pembangunan industri pertanian antara kedua-dua negara,” katanya di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.
Menurut Mohamad, Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang sangat baik dengan Argentina melalui perdagangan pertanian.
“Saya berharap hubungan baik ini akan terus berkembang pada masa hadapan.
“Setakat ini, sektor pertanian telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam hubungan perdagangan antara kedua-dua negara dengan peningkatan yang stabil sejak tahun 2019.
“Jumlah nilai dagangan dalam sektor ini telah meningkat 19.08 peratus daripada RM7.02 bilion pada 2021 kepada RM8.36 bilion pada 2022 dan saya percaya ianya berpotensi untuk dikembangkan,” katanya.