KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang dalam kajian menyeluruh bagi mewajibkan semua syarikat pengendali umrah mempunyai Jaminan Bank minima sebanyak 250 ribu ringgit.
Manakala untuk pengendali berskala besar pula, Jaminan Bank ini akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat mereka.
Menurut kenyataan media Motac, tindakan ini perlu dilaksana memandangkan kes penipuan khidmat semakin serius dan sering berlaku.
“Jaminan Bank bagi syarikat-syarikat pengendali adalah termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta 482. Langkah ini bertujuan memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara. Misalnya apabila berlaku penipuan, dana dari Jaminan Bank ini akan digunakan untuk memberi pampasan kepada mangsa yang terjejas.
“Sekiranya ada syarikat yang tidak dapat memenuhi keperluan minimum ini, maka MOTAC tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka serta-merta tanpa kompromi.
“Sesungguhnya MOTAC kecewa kerana meskipun tindakan telah diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi undang-undang sebelum ini, namun masih terdapat pengendali yang terus mengabaikan tanggungjawab mereka.
Hari ini, seramai 135 mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang telah hadir ke MOTAC di Putrajaya untuk mengadu tentang pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan Umrah.
Sebelum ini MOTAC telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil Persatuan Pengendali Umrah iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH).
“Kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah Umrah. Kepercayaan rakyat terhadap industri Umrah harus dipulihkan dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi.
“Kami menyeru semua pengendali Umrah untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Tindakan ini bukan sahaja untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi juga untuk memastikan integriti dan kredibiliti industri Umrah di Malaysia terus kekal diyakini,” tegas Motac.