RAWANG – Tiga individu yang dipercayai terlibat aktif dalam pelbagai kes samun dan curi kenderaan maut dalam kejadian tembak-menembak dengan polis di Kota Emerald, Rawang, sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.
Dua daripada suspek dilaporkan memiliki 68 rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan samun, curi, dan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kejadian bermula apabila pihak polis mengesan sebuah Toyota Vios yang dinaiki tiga suspek dan cuba menahan mereka.
Namun, suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan dan cuba melarikan diri menggunakan kenderaan sewa tersebut. Polis mengejar mereka sejauh 750 meter sebelum kesemua suspek berjaya ditembak mati.
Menurut Mohd Shuhaily, ketika insiden berlaku, ketiga-tiga suspek sedang merancang untuk melakukan satu lagi jenayah samun.
“Modus operandi mereka ialah menukar plat kereta sewa kepada nombor palsu. Hari ini mereka menyewa kenderaan lain untuk melakukan jenayah baharu,” katanya.
Beliau turut mendedahkan identiti dua suspek lelaki tempatan berusia 40 dan 43 tahun, sementara identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri.
Sindiket Aktif Disyaki Terlibat Curi 4WD
Pihak polis mengesyaki sindiket ini aktif mencuri kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD) untuk dijual ke negara jiran. Tahun ini sahaja, mereka dipercayai telah mencuri enam kenderaan.
Dalam operasi itu, polis merampas beberapa barang bukti, termasuk pistol revolver, pistol semi automatik, dua alat menyahaktif penggera kenderaan, topeng muka, dan satu paket serbuk putih dipercayai dadah.
“Kami telah menjejaki sindiket ini sejak setahun lalu dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk menumpaskan mereka,” tambah Mohd Shuhaily.