Pemandu Pelancong, Teksi dan Bas Terima Bantuan Kewangan RM500

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pemandu pelancong, teksi dan bas akan menerima bantuan kewangan sekali beri sebanyak RM500 melibatkan peruntukan tambahan RM66 juta di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemberian bantuan itu meliputi 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.

Selain itu, beliau berkata pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi kini dilonggarkan syaratnya daripada minimum pemilikan kenderaan selama tujuh tahun kepada lima tahun mulai 1 Jan hingga 31 Dis ini.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas pakej bantuan PERMAI yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial.

Pemberian bantuan bagi meringankan beban golongan berkenaan di kala pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ini merupakan antara 22 insiatif di bawah PERMAI bernilai RM15 bilion.

Muhyiddin berkata Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan turut akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi, dan di bawah skim itu 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.

“Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah. Jaminan sebanyak RM1 bilion akan disediakan untuk tujuan ini,” katanya.

Perdana menteri turut mengumumkan lanjutan tempoh pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet selama setahun sehingga 31 Dis depan yang sepatutnya berakhir pada 31 Dis tahun lepas.

Perhatian turut diberikan kepada kebajikan pelajar dan menurut Muhyiddin, pakej langganan khas internet yang disediakan untuk pelajar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebelum ini akan diperluas kepada pelajar institusi pengajian tinggi sehingga April ini.

Sementara itu, beliau berkata pemberian data satu gigabit secara percuma kepada orang ramai bernilai RM500 juta yang bermula 1 Jan lepas, turut akan dilanjutkan sehingga April ini dan kerajaan berharap kedua-dua usaha industri telekomunikasi itu akan dapat meringankan beban pengguna.

Selain itu, bagi peminjam dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir, Muhyiddin berkata mereka boleh memohon moratorium bayaran balik pinjaman selama tiga bulan sehingga 31 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, perdana menteri berkata kerajaan juga bersetuju melanjutkan tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual kepada 31 Mac ini melihat kepada situasi semasa dan selaras dengan pengumuman PKP.

Ini meliputi perjanjian sewa beli atau kontrak pajakan dan kontrak jualan kredit untuk memanfaatkan golongan yang terjejas seperti golongan B40, M40 dan perusahaan mikro kerana gagal memenuhi obligasi kontrak mereka, katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat