Pemimpin PKR Gesa UMNO Kerjasama Dengan PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penjajaran politik baharu yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO wajar dibincangkan oleh kedua-dua pihak meskipun terdapat penyokong kedua-dua parti kurang senang.

Bendahari Majlis Pimpinan Keadilan Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata, UMNO dan PH wajar duduk semeja membincangkan jalan terbaik untuk menyelamatkan negara daripada krisis yang dihadapi hari ini.

Menurut beliau, Malaysia telah menyaksikan sebuah bentuk penjajaran politik baharu berikutan penukaran kerajaan pada 28 Februari 2020 yang mana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang amat keras menentang parti seperti UMNO dan Pas sebelum ini sanggup menjalinkan kerjasama menubuhkan pakatan baru yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, katanya, kedudukan kerajaan PN lemah dan tidak stabil telah membangkitkan beberapa krisis politik di negara.

Paling terkini adalah krisis politik di Perak yang menyaksikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang ‘dijatuhkan’ sebagai Menteri Besar Perak dan digantikan dengan Datuk Saarani Mohamad dari UMNO.

”Negara kita kini menghadapi masalah begitu besar akibat pandemik Covid-19 dan ekonomi semakin merudum, pengangguran bertambah, rakyat kian miskin dan bilangan kes Covid-19 semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meskipun pelbagai pelan pemulihan telah diumumkan kerajaan, namun ia tidak menampakkan hasil.

Fitch Ratings Hong Kong juga telah memberi penarafan rendah berkenaan kedudukan Malaysia kerana kelemahan tatanan pemerintahan dan ketidakstabilan kerajaan yang berkuasa.

Keadaan yang sama akan menyebabkan keyakinan pelabur merosot dan menjejaskan keadaan ekonomi negara kita ke tahap yang lebih parah.

Tegasnya, kepimpinan yang cekap dan kerajaan yang ampuh akan menjadi tunjang kebangkitan negara untuk kembali menguasai ekonomi, selain memulihkan ekonomi ia juga menjadi perkara asas untuk pembentukan masyarakat yang bersatu dan
jenjam.

Zulkifly menambah, PH dan UMNO harus kurangkan berpolitik berdasarkan sentimen dan utamakan prinsip yang mampu mewujudkan kestabilan politik.

”Saya berpendapat, sentimen kolot seperti No Anwar, No DAP harus diketepikan. Agenda rakyat harus diberi keutamaan untuk menyelamatkan ribuan rakyat yang sengsara akibat pandemik Covid-19,” ujar beliau.

Sebaliknya, penjajaran baharu ini harus fokuskan agenda rakyat dan bukannya agenda peribadi mana-mana pemimpin yang mahu lari daripada kes-kes mahkamah.

Jika ia mampu dilaksanakan, beliau yakin Malaysia akan dapat kembali mengukuhkan keadaan ekonomi dan menangani wabak Covid-19 dengan cekap. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,574FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat