Skandal pasir dah lama bukan mula era pemerintahan Sulaiman- Mohamad Hasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “(Isu pasir) bukan zaman dia (Sulaiman), dah lama dah… sampai saya buat bantahan dalam Majlis Fizikal Negara pada ketika itu kerana saya buat Taman Laut di Teluk Kemang, 200 ekar kita gazetkan untuk batu karang, zaman tu lagi dah buat (tambak laut).

“Apa cerita sekarang baru bising? Sebab tak dapat jadi Ketua Menteri? Cuba buka buku balik…,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka itu mustahil untuk calon Ketua Menteri Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Sulaiman Md Ali terbabit dalam skandal pasir di Melaka kerana beliau baharu sahaja menjadi Ketua Menteri tahun lalu.

Mohamad sebaliknya menegaskan isu pasir di Melaka sudah berbangkit sejak beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan penggal pertama yakni dari Mac 2004 hingga Mei 2018.

“Cerita pasir ni dah lama sejak saya jadi Menteri Besar penggal pertama di Negeri Sembilan. Saya bantah kerana nak tambak sebelah sempadan Negeri Sembilan, saya tak setuju,” katanya dalam program bual bicara secara maya sempena kempen PRN Melaka malam tadi.

Program selama satu jam 30 minit itu turut disertai Sulaiman yang memberi komitmen untuk mewujudkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan skandal pasir sekiranya BN diberi mandat sekali lagi.

Bekas Ketua Menteri itu juga menegaskan bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penipuan dan pembolotan projek ekonomi kerajaan persekutuan berkaitan royalti pasir laut.

“Kita nak bentuk satu jawatankuasa dan kita nak pastikan apa yang disebut dalam itu (laporan) telus.

“Kita telus, tubuh jawatankuasa…siasat, kita serah pada pihak berkuasa, kalau SPRM, biarkan SPRM jalan (buat siasatan)… kalau polis biar polis (siasat). Tutup cerita dan jangan diulang lagi cerita ini,” tegasnya.

Sementara itu, Mohamad yang turut bersetuju dengan cadangan berkenaan berkata, beliau tidak mahu calon Ketua Menteri terlibat dalam pelbagai masalah sekiranya berjaya mendapat mandapat pada 20 Nov ini.

“Saya setuju tubuh jawatankuasa khas supaya (pihak berkuasa) menilai, menyelidik dan memeriksa sebab kita tak mahu calon Ketua Menteri yang kita lantik nanti terlibat dalam macam-macam hal,” tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka terbabit dalam penyelewengan royalti pasir menyebabkan beliau bersama tiga ADUN lain menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka.

Tiga ADUN lain yang terbabit adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,609FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat