Subsidi bersasar: Tarik balik ‘sedekah’ kepada orang kaya – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rasionalisasi subsidi bukan bermakna mengenakan cukai ke atas orang kaya sebaliknya menarik balik ‘sedekah’ yang selama ini diberikan kerajaan kepada golongan itu.

Menurut Perdana Menteri, rakyat perlu faham dan diberi penjelasan sewajarnya tentang pelaksanaan dasar baharu kerana selama ini negara melalui satu kecelaruan dasar yang tidak wajar lagi diteruskan apabila semua golongan masyarakat memperoleh bantuan itu.

Bagaimanapun Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi bersasar tidak bermakna kerajaan mahu menekan orang kaya, tetapi menerapkan konsep adil dalam menguruskan wang negara memandangkan jumlah pemberian subsidi mencecah RM81 bilion iaitu antara paling tinggi di rantau ini.

“Bagi rakyat yang sedia berfikir kena beritahu mereka, boleh tak mana-mana kerajaan bertanggungjawab kekal dengan subsidi begitu banyak? Dari mana pendapatan sebanyak RM81 bilion.

“Namun apakah kita kena potong (subsidi) semua? Tak boleh kerana ia akan membebankan rakyat.

“Subsidi ini makna apa, bantuan kerajaan mengurangkan beban kepada rakyat. Adakah patut diberikan kepada mahakaya? Tetapi kita bukan menekan mahakaya, kalau kamu kaya tak perlu beri sedekah. subsidi ini macam sedekah kerajaan,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, Putrajaya pada Selasa, lapor Utusan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, orang kaya juga tidak boleh ‘ditekan’ berlebihan dengan mengenakan cukai berlebihan kerana ia tidak akan menjana pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan pelaburan baharu serta produktiviti.

“Masalah subsidi ini bukan mengenakan cukai ke atas mereka, tapi tarik sedekah ke atas orang kaya. Itu pun salah ke? Ini seadil mungkin (dasar subsidi) tetapi oleh kerana dunia politik demokrasi dia tak menghalang orang menyerang,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar meminta warga Kemterian Kewangan dapat memberikan penjelasan sedemikian termasuk isu kontroversi berkait pemberian ganjaran tinggi kepada penjawat awam tatkala keadaan hutang negara begitu banyak.

Beliau berkata, Belanjawan negara adalah demi memberikan keyakinan kepada pelaburan ke arah pertumbuhan ekonomi, pada masa sama memberikan keselesaan semaksima mungkin kepada rakyat selain tidak mungkin mampu menyelesaikan kerumitan yang diwarisi puluhan tahun.

“Sebab itu mana-mana Belanjawan tidak harus dilihat dalam satu vakum, mesti lihat latar belakang kekuatan ekonomi, keutuhan, kestabilan politik dan keupayaan kita melangsaikan hutang serta menyelesaikan beberapa kerangak ekonomi makro yang asas.

“Kalau kita teruskan dengan jumlah defisit membengkak, pelabur tidak yakin, mereka kata negara ini diurus oleh barisan pimpinan politik dan pengurusan kerajaan yang tak bertanggungjawab.

“Jangan tambah hutang, defisit harus kurang. Pada masa sama prasarana asas pendidikan dan kesihatan itu harus diberikan perhatian,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat