KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan atas tindakan pantas dan tegas menggagalkan penganjuran pesta maksiat melibatkan kumpulan gay di Kota Bharu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fazli Hassan berkata, usaha ini mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam serta mempertahankan nilai hidup masyarakat yang berlandaskan syariat Islam.
“Kerajaan Negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam.
“Amalan LGBT adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial. Bumi Kelantan tidak akan dibiarkan menjadi tempat normalisasi maksiat yang jelas diharamkan oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau lagi, dalam usaha membendung kemungkaran, Kerajaan Negeri Kelantan telah menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) EKJS Kelantan 2019 sebagai instrumen perundangan untuk menangani kesalahan syariah, termasuk perlakuan liwat, musahaqah dan perbuatan tidak bermoral lain yang mencemarkan kesucian hidup beragama.
Ujar Fazli,walaupun enakmen ini pernah menghadapi cabaran perundangan, Kerajaan Negeri bertekad meneruskan usaha meminda dan memperkukuh peruntukan tersebut agar lebih berkesan dalam membendung kemungkaran dan menegakkan hukum Allah.
“Bagi memperkukuh tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat yang melibatkan pelbagai agensi strategik daripada PDRM, JAHEAIK, Jabatan Kesihatan Negeri, Yayasan Islam Kelantan (YIK), JKM, AADK, ILDAN serta beberapa agensi lain. Jawatankuasa ini berperanan menyelaras pendekatan menyeluruh dan bersifat antara agensi dalam menangani keruntuhan moral dan tingkah laku menyimpang yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri menyeru Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar mengambil langkah tegas menyekat akses kepada platform aplikasi digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.
“Ruang digital tidak wajar dibiarkan menjadi medan tanpa kawalan yang merosakkan pemikiran dan akhlak masyarakat, khususnya golongan muda.
“Sebagai langkah berterusan, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Program Budaya Komuniti Rabbani (K-Rabb) yang menyasarkan pembinaan masyarakat yang sejahtera dari sudut spiritual, emosi dan sosial. Program ini digerakkan melalui pendekatan lapangan dengan penglibatan pelbagai institusi negeri, bertujuan memperkukuh kefahaman Islam, menyantuni komuniti berisiko serta membina daya tahan masyarakat terhadap gejala sosial yang menular.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menangani akar umbi masalah, bukan sekadar bertindak apabila insiden berlaku.
Kerajaan Negeri Kelantan akan terus teguh memelihara kesucian Islam dan kesejahteraan rakyat.
Tegas Timbalan Menteri Besar itu lagi, Kelantan tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang cuba membuka jalan kepada kebebasan tanpa batas yang akhirnya mengundang kehancuran moral dan kemurkaan Ilahi.
Sebelum itu media melaporkan, perjumpaan makan-makan kumpulan gay di sebuah banglo di Jalan Kemumin, di Kota Bharu, Kelantan yang dipercayai disertai hampir 100 gay diserbu polis.
Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu turut membawa kepada rampasan ratusan kondom dan ubat HIV.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ketika serbuan dilakukan hanya 20 lelaki ditahan, manakala yang lain dipercayai sudah pulang.
“Kita mendapat maklumat kumpulan gay berkenaan menyewa sebuah banglo untuk acara makan-makan dalam kalangan mereka dan hasil risikan kami pertemuan itu dihadiri hampir 100 gay.
“Namun ketika serbuan dilakukan sebahagian besar sudah pulang dan terdapat 20 lelaki ditahan. Kita turut merampas ubat HIV dan kondom.
“Kita percaya pertemuan itu diadakan untuk aktiviti hubungan terlarang berdasarkan penemuan kondom dan ubat HIV, namun aktiviti hubungan itu belum lagi dilakukan,” katanya.



