Di Sebalik Perjumpaan Ketua UMNO Bahagian Malam Ini

Kuala Lumpur, – Satu perjumpaan tertutup membabitkan sejumlah Ketua UMNO Bahagian dijangka berlangsung malam ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Menurut sumber, jemputan bagi sesi taklimat ini dibuat oleh seorang Ketua UMNO Bahagian dari Wilayah Persekutuan yang dilihat rapat dengan kem bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun ia bukan taklimat rasmi parti, sumber menyatakan pertemuan ini mendapat restu daripada pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan akan turut dihadiri oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Taklimat tersebut dikatakan menyentuh isu pelaksanaan Titah Addendum dokumen yang dipercayai mengandungi perintah Yang di-Pertuan Agong berkaitan penempatan Datuk Seri Najib.

Menariknya, taklimat ini juga dilihat sebagai lanjutan daripada taklimat tertutup Perdana Menteri kepada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional minggu lalu.

Difahamkan, kepimpinan UMNO memberi lampu hijau kepada penganjuran sesi malam ini sebagai usaha meredakan tekanan dalaman, khususnya daripada kalangan Ketua-Ketua Bahagian yang semakin lantang menyuarakan kegelisahan terhadap kedudukan Najib dan pendirian parti secara keseluruhan.

“Jemputan ini bukan daripada Ibu Pejabat. Ia datang daripada Ketua Bahagian tertentu yang dipercayai pro-Najib. Namun, tangan sebenar di sebalik perjumpaan ini ialah kepimpinan UMNO sendiri melalui Khaled Nordin,” kata satu sumber yang enggan dinamakan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan bahawa beberapa Ketua UMNO Bahagian mulai menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kelewatan atau keengganan pimpinan pusat menyatakan pendirian yang jelas mengenai Titah Addendum. Laporan itu turut menyebut bahawa sikap mendiamkan diri itu boleh menghakis keyakinan akar umbi terhadap kepimpinan tertinggi parti.

Perjumpaan malam ini dilihat sebagai medan penting untuk menyampaikan penjelasan langsung kepada Ketua-Ketua Bahagian sebelum sentimen tidak terkawal merebak ke peringkat negeri dan nasional, apatah lagi menjelang Perhimpunan Agung UMNO negeri yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Bagi pemerhati politik, penganjuran pertemuan ini mencerminkan keperluan mendesak UMNO untuk mengurus persepsi dalaman dan luaran termasuk tanggapan bahawa parti tidak lagi mampu mempertahankan tokoh utamanya, atau bersikap pasif terhadap perkembangan kehakiman yang membabitkan bekas presidennya.

Sama ada taklimat malam ini akan berjaya meredakan keresahan akar umbi, atau sebaliknya menyalakan semula bara ketidakpuasan dalaman segalanya bergantung kepada penjelasan yang akan dikemukakan malam ini. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat