KUALA LUMPUR – Jika Umno tak jadi ‘king maker’ dan tak berperanan dalam kerajaan belum tentu agenda Melayu dapat dipertahankan sekuat sekarang, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Razlan Rafii.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, daripada kita duduk tepuk tangan di luar, lebih baik kita duduk di dalam untuk memastikan bangsa sendiri tidak jadi sekadar penonton.
Razlan sekali gus memberitahu, Umno tidak akan sesekali mengkhianati janji kepada bangsa Melayu.
“Umno dituduh menjual agama dan Melayu hari ini ketika bersama Kerajaan Perpaduan. Tuduhan liar dan fitnah sebegini sudah berkali-kali dilemparkan untuk meracuni fikiran rakyat.
“Tidak mustahil ianya akan memusnahkan kita sekali lagi pada masa akan datang sekiranya tidak ditangani dengan baik hari ini.
“Umno memilih untuk bersama dalam kerajaan Perpaduan bukan kerana hilang prinsip tetapi kerana ada beberapa sebab yang sangat penting untuk kelangsungan negara dan masa depan orang Melayu ini sendiri,” jelas Razlan.
Ketua Umno Bahagian Seputeh kebersamaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan adalah bagi mengelakkan negara terus terperangkap dalam kebuntuan politik selepas PRU-15, kalau semua parti nak ego masing-masing, Malaysia boleh ‘stuck’ tak stabil bertahun-tahun.
“Keduanya Umno nak memastikan ekonomi rakyat terus terjaga daripada harga barang keperluan, peluang pekerjaan hinggalah pelaburan asing yang boleh memacu pertumbuhan.
“Ketiga ; Umno sedar, kalau kita pilih duduk di luar kerajaan dan membiarkan blok lain pegang kuasa sepenuhnya, suara Melayu dalam pentadbiran akan jadi makin kecil. Ini fakta yang ramai malas nak fikir tetapi inilah realitinya.
“Contoh Umno ‘jual bangsa’ – dapat kembalikan semula Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 yang telah dihentikan pada 2018. TVET diperluas, memfokuskan anak-anak Melayu / Bumiputera di samping kaum lain.
“Dana MARA dan biasiswa bumiputera ditambah lagi. Begitu juga kawasan luar bandar terus menikmati projek pembangunan infrastruktur baru,” kata Razlan.
Selain itu, sektor ekonomi Bumiputera terus diperkasa dengan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberi kepercayaan untuk menerajui Kongres Ekonomi Bumiputera.
Ujarnya, menerajui dan memperkasakan kembali agensi seperti MARA, FELDA, TH, FELCRA dan Yayasan-Yayasan Melayu / Bumiputera.
“Ini adalah sedikit perkara yang sedang diperjuangkan dan berjaya kita realisasikan dengan sedikit kuasa yang ada tetapi digunakan sepenuhnya bagi memastikan agenda memperkasa Melayu / Bumiputera terus terlaksana dengan baiknya,” tegas Razlan.



