Speaker Art Harun: Personaliti dan Integriti

- Advertisement -

KONTROVERSI pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat (Speaker)beberapa hari lalu bukan pertama kali berlaku, dan ia boleh berlaku lagi pada masa-masa hadapan. Malah ini bakal menjadi kelaziman baharu politik negara selagi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) tidak memberi kuasa yang kuat kepada mana-mana parti.

Mohamad Ariff sendiri dilantik secara kontroversi kerana janji Pakatan Harapan sebelum memenangi PRU ialah melantik Speaker yang tidak berpatisan. Bagaimanapun ketika dilantik Mohamad Ariff adalah ahli Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Malah ketika itu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghantar notis usul pelantikan Mohamad Ariff sebelum Majlis Presiden PH membuat persetujuan.

Azhar dilantik sebagai Speaker menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang disingkirkan melalui usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamad Arif disingkirkan dengan majoriti tipis 111 menyokong dan 109 menentang. Dua orang Ahli Parlimen (MP) yang tidak mengundi ialah Datuk Seri Maximus Ongkili dan Datuk Rashid Hasnon. Maximus tidak hadir atas faktor kesihatan, manakala Rashid tidak mengundi kerana mempengerusikan sidang Dewan Rakyat ketika pengundian.

Berikutan penyingkiran itu, Timbalan Yang Dipertua yang turut berhadapan diusul sama, Nga Kor Ming, telah meletak jawatan secara sukarela.

Pilihan Muhyiddin

Ini memang catatan sejarah, kali pertama Dewan Rakyat menyingkirkan Speaker pada pertengahan penggal.

Segala kekecohan dan kontroversi ini dapat dielakkan jika Mohamad Ariff bertindak profesional meletak jawatan sebaik kerajaan yang mencadangkan pelantikan beliau telah hilang kuasa pada Mac 2020.

Malangnya, ‘bekas ahli’ Parti Amanah Negara ini tidak mematuhi kelaziman (kovensyen) amalan demokrasi. Justeru Muhyiddin tiada pilihan kecuali membuat usul menyingkirkan Mohamad Ariff.

Usaha Pakatan Harapan (PH) untuk memburukkan Azhar Harun dan mencemar imej institusi Dewan Rakyat dengan pelbagai kritikan kasar menunjukkan mereka tidak berniat memberi gambaran demokrasi sebenar kepada umum.

Pada bila-bila masa pelantikan Speaker adalah keputusan MP yang didorong oleh parti pemerintah atau Perdana Menteri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara usul Perdana Menteri mengenai pelantikan Speaker ditolak oleh Dewan Rakyat.

Ini bukan bermakna Speaker harus tunduk kepada kehendak Perdana Menteri. Speaker harus membuat keputusan berdasarkan peraturan-peraturan Dewan Rakyat yang sedia ada.

Art Harun: Personaliti dan Integriti

Azhar Azizan Harun atau lebih popular dengan nama Art Harun adalah seorang peguam yang terkenal dengan perjuangan dalam isu-isu rakyat dan hak asasi manusia.

Anak kelahiran Kedah ini merupakan lulusan Universiti Malaya dan King’s College London. Beliau mempunyai pengalaman lebih 31 tahun sebagai peguam dalam beberapa firma undang-undang terkenal tempatan, menjadi Ahli jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam dari 2009 hingga 2015.

Romantisme politik Art Harun sangat menarik. Beliau sentiasa menulis dalam keadaan kurang simpati kepada parti pemerintah terutama UMNO. Namun beliau juga sentiasa berada dalam ‘circle’ banyak parti politik tanpa menunjukkan keterikatan kepada ideologi politik. Suatu masa dahulu beliau mempunyai hubungan baik dengan ramai pemimpin UMNO termasuk Muhyiddin.

Art Harun merupakan antara peguam yang terbabit dalam memfailkan ‘herbeas corpus’ bagi pembebasan Raja Petra Kamaruddin (RPK) dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008. Beliau juga pernah menjadi peguam dalam petisyen pilihan raya untuk Datuk Teh Kim Poo, calon Barisan Nasional (BN) DUN Pandamaran (2004) dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor (2010).

Beliau juga banyak banyak menulis bagaimana untuk mencabar dan membatal keputusan pilihan raya kerana rasuah, undang-undang pilihan raya tempatan dan petisyen pilihan raya.

Mungkin catatan terpenting ialah pelantikan Art Harun sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2018. Ketika itu para pemimpin PH mengangkatnya sebagai satu sejarah baru kebebasan SPR negara. Kredebiliti dan latar belakang Art Harun diangkat setinggi langit.

Justeru adalah sangat aneh melihat MP PH membesar-besarkan isu pelantikan Art Harun – personaliti yang sama dua tahun lalu mereka pancarkan imej sebagai “the man with integrity”, highly intelligent and committed to democracy and good governance”.

Dalam kalangan UMNO dan PAS juga ada meragui kewajaran memilih Art Harun.

Mereka melihat Art Harun adalah tokoh hak asasi manusia yang meletakkan Islam dan Melayu sebagai perkara kedua. Mereka juga meragui keupayaan Speaker baharu untuk membebaskan diri dari pengaruh kawan-kawan beliau dalam kalangan pemimpin PH ketika membuat keputusan semasa menguruskan Dewan Rakyat.

Namun realitinya ketika Art Harun menjadi Pengerusi SPR, Barisan Nasional telah menang enam pilihan raya kecil secara cemerlang. Tidak kedengaran sebarang usaha menindas dan menyekat BN, UMNO dan PAS dalam mana-mana PRK.

Ini sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar mengenai integriti dan personaliti Art Harun. Beliau tidak pernah terikat kepada ideologi politik. Sehingga hari ini, walaupun pun mempunyai personaliti sinis dan kritikal, beliau tampak adil dalam membuat keputusan pada posisinya.

Sejarah menunjukkan Art Harun akan menjadi Speaker yang lebih baik dari Mohamad Ariff. Namun hari ini dan hari-hari mendatang adalah gelanggang berlainan buat beliau. Hanya masa akan menentukan belang sebenarnya. – SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat