Agong ada kuasa panggil Parlimen bersidang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tamat Darurat yang ditubuhkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang berpandangan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memanggil persidangan Parlimen tanpa nasihat Perdana Menteri dalam tempoh darurat.

Pengerusi jawatankuasa itu yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, berkata Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa perlu menunggu nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau memohon Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen pada bulan depan.

“Jawatankuasa Tamat Darurat berpendapat, Seksyen 14 dan Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh yang sesuai memanggil sidang Parlimen tanpa perlu nasihat Perdana Menteri, sekiranya Perdana Menteri lambat atau ingkar.

“Sehubungan itu, patik semua memohon Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen pada bulan Julai, iaitu ketika darurat masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan sidang Parlimen boleh dipanggil, diprorog dan dibubar pada satu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Seksyen 15 Ordinan itu pula memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil, memprorog dan membubar sidang DUN selepas berunding dengan Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

Selain itu, kedua-dua seksyen berkenaan turut memperuntukkan segala peruntukan berkait memanggil, memprorog dan membubar Parlimen dalam Perlembagaan tidak mempunyai kesan sepanjang darurat berkuat kuasa.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pula dilaporkan berkata, Raja-Raja Melayu antara lain sependapat tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat