Keputusan Najib cabar Titah Adendum ditetapkan 5 Jun ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun ini untuk keputusan permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu yang dijalankan secara tertutup, berkata Hakim Datuk Amarjeet Singh juga mengarahkan hujahan bertulis tambahan difailkan sebelum keputusan itu dibuat.

“Ada perintah daripada hakim pada awal prosiding bahawa orang awam termasuk wartawan tidak boleh mengikuti prosiding kerana secara dalam kamar mahkamah.

“Yang kedua, kertas kausa (afidavit saksi ikrar sokong permohonan Najib) tidak boleh diakses (orang awam). Sama ada ia dibocorkan sebelum ini, itu cerita lain.

“Bila perintah dibuat, jangan ambil risiko. Buat apa? Itu nasihat saya tetapi kamu (wartawan) boleh melaporkan berita secara bijak,” lapor BH, pada Rabu.

Terdahulu, media dilaporkan tidak dibenarkan membuat liputan prosiding permohonan Najib terbabit.

Prosiding itu bagi Shafee mendedahkan identiti ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

‘Saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Bekas Perdana Menteri berkenaan memohon perintah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum, selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ditanya mengenai sensitiviti afidavit itu hingga menyebabkan prosiding secara tertutup, Muhammad Shafee, berkata ia kerana berkaitan arahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Baginda memberi arahan menerusi saluran rasmi yang perlu menguat kuasa arahan itu.

“Arahan itu tidak dikuat kuasa, kalau ia tidak dikuat kuasa persoalan arahan itu wujud itu atau tidak menjadi sensitif,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat