Nahas helikopter: 1,000 warga TLDM Kota Kinabalu tunai solat jenazah ghaib

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Kira-kira 1,000 warga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu hari ini menunaikan solat jenazah ghaib buat lapan anggota dan pegawai TLDM yang terkorban dalam tragedi dua helikopter terhempas di Lumut, Perak semalam.

Solat jenazah ghaib di Masjid Ibnu Battuta pangkalan itu turut disertai Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahruddin dan diimamkan Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Mej Mad Zakuan Burhan.

Terdahulu, warga pangkalan itu beramai-ramai memenuhi ruang di masjid seawal 3 petang bagi mendengar tazkirah dan bersama-sama menunaikan solat asar pada 3.29 petang.

Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dijadual turut mengadakan bacaan Yasin dan tahlil di Masjid Ibnu Battuta pada Jumaat ini.

Dalam tragedi pada 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Empat yang terkorban ialah pegawai Skuadron 503 dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu iaitu Pegawai Memerintah Komander Muhammad Firdaus Ramli yang juga juruterbang HOM-AW139, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, dan Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun.

Sementara itu, tinjauan di Cawangan Udara Armada Timur yang menempatkan Skuadron 503 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini hari ini mendapati suasana sunyi dan tiada aktiviti nyata kelihatan di kawasan itu.

Skuadron 503 menghantar dua pesawat HOM-AW139 bersama sembilan kru udara dan 11 juruteknik pesawat ke Lumut untuk menyertai Lintas Hormat di KD Pelandok bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan diadakan Sabtu ini.

Sambutan itu, bagaimanapun dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat