KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyiaran bersama isteri, anak dan seorang lagi individu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat selepas siasatan dilengkapkan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kedua-dua kertas siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), 403 KK dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta penggubahan wang haram mengikut Seksyen 4 (1) Akta 613 dalam tindakan siasatan dan akan dirujuk kepada pihak AGC oleh kedua dua pegawai penyiasat selepas lengkap semua siasatan.
Menurutnya, susulan itu, seorang CEO Sebuah syarikat penyiaran bersama isteri, anaknya dan seorang lagi individu yang ditahan Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan.
“Turut dibebaskan adalah bekas Datuk Bandar dan juga seorang bekas pengurus besar sebuah syarikat kumpulan media.
“Tangkapan bekas Datuk bandar dan juga seorang lagi pengurus besar tidak dibawa untuk reman memandangkan aspek umur dan kesihatan mereka,” lapor Harian Metro pada Jumaat.
Razarudin berkata, sementara kedua-dua tangkapan tamat reman hari ini akan bergantung kepada peringkat siasatan pegawai penyiasat.
“Sekiranya lengkap siasatan oleh pegawai penyiasat akan dilepaskan dengan jaminan polis.
“Kesemua tangkapan termasuk bekas Datuk bandar adalah pegawai peringkat tertinggi syarikat penyiaran yang meluluskan projek yang dipercayai dan disyaki diselewengkan,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan juga dibuat ke atas pihak yang menerima perolehan haram hasil daripada projek yang diseleweng itu.
Ditanya jika ada tangkapan lagi selepas ini, Razarudin berkata, ia bergantung kepada siasatan dan sekiranya ada keperluan akan ada penahanan lagi.
“Setakat ini tiada apa apa pembekuan tambahan lagi sehingga kini,” katanya.
Jumaat lalu, lima individu berusia antara 26 hingga 62 tahun ditahan dalam Op Ragada di Sarawak dan Pulau Pinang, susulan maklumat risikan mendapati terdapat pengaliran wang mencurigakan membabitkan beberapa akaun bank sejak 2017 hingga September tahun lalu.
Suspek disyaki turut menipu tender selain menganugerahkan tender kepada diri sendiri dan ahli keluarga.
Hasil serbuan, Pasukan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, menyita serta membekukan pelbagai aset membabitkan kenderaan, akaun perbankan dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta.