BANGKOK — Malaysia dan Thailand merupakan dua negara destinasi popular di Asia yang kini rancak meningkatkan industri pelancongan melalui pelbagai usaha dan aktiviti sekaligus mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kaunselor Kedutaan Malaysia di Bangkok, Jarin Sijaya Abdul Hathi berkata pihaknya menyokong penuh industri pelancongan antara negara ini yang merupakan salah satu elemen penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan sosial.
“Hari ini di ‘Malaysia Pavilion’ bersempena TITF 2025, kita ingin menarik lebih ramai lagi pelancong Thailand ke Malaysia.
“Kami di kedutaan juga tidak ketinggalan terlibat dengan pelbagai acara bagi mempromosikan Malaysia.
“Selain itu, kita berharap akan lebih banyak lagi aktiviti yang akan dilakukan untuk kempen ‘Visit Malaysia 2026’ akan datang.
“Oleh itu, langkah-langkah ke hadapan dalam mempromosikan pelancongan dua hala akan menjadi kunci dalam mencapai kejayaan yang lebih besar di masa hadapan,” katanya ketika ditemui Suara TV, selepas melancarkan ‘Malaysia Pavilion’ di sini, semalam.
Selain itu, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia di Bangkok, Azamuddin Abdul Razak berkata pihaknya melaksanakan ‘Malaysia Pavilion’ bersempena Thai International Travel Fair (TITF) 2025 bermula 16 hingga 19 Januari 2025, bertempat di Queen Sirikit Center Bangkok Thailand.
Menurutnya inisiatif ini juga akan membantu memacu kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mensasarkan 35.6 juta pelancong antarabangsa selain mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Malaysia pavilion ini diadakan bagi membantu industri pelancongan di kedua-dua negara mempromosikan penerokaan rentas sempadan.
“Melalui kerjasama yang lebih strategik, kedua-dua negara berpeluang untuk meningkatkan pengalaman pelancongan yang lebih kaya dan bermanfaat, sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi masing-masing.
“Tourism Malaysia menjalankan kempen promosi di Thailand bagi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia sebagai destinassi utama menjelang kempen Visit Malaysia 2026 selain mampu menjana ekonomi negara,” katanya.