LONDON – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dijadual berkuat kuasa Ahad ini, memberikan harapan baharu kepada rakyat Gaza yang telah lama menderita akibat konflik.
Bercakap kepada media Malaysia semasa lawatan kerja ke United Kingdom, Anwar memuji usaha Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat sebagai pengantara utama perjanjian tersebut. Beliau turut menghargai peranan Presiden terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam menjayakan rundingan tersebut.
Beliau menegaskan pentingnya menjadikan gencatan senjata ini sebagai batu loncatan untuk membina keamanan mampan serta memulihkan Gaza yang rosak teruk akibat konflik. Lebih 46,700 rakyat Palestin kehilangan nyawa dan dua juta lagi kehilangan tempat tinggal akibat keganasan yang berlarutan.
“Keadilan dan akauntabiliti terhadap tindakan semasa konflik ini tetap penting,” kata Anwar selepas menyampaikan ucaptama di acara Invest Malaysia.
Anwar turut menyuarakan sokongan Malaysia terhadap matlamat mendirikan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat, dan berdaya maju, menyifatkannya sebagai kunci kepada keamanan yang adil dan berkekalan.
Dalam pada itu, beliau menghargai kenyataan ahli biro politik Hamas, Khalil al-Hayya, yang memuji pendirian konsisten Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin. Menurut Anwar, keutamaan kini adalah memastikan keamanan dapat dikekalkan demi rakyat Gaza.
Saya yakin ini boleh dicapai dengan usaha diplomasi bersama rakan antarabangsa seperti Mesir, Hamas, dan wakil Amerika Syarikat,” tambahnya.