‘Syukur Sangat Bila PKPD Berakhir’

- Advertisement -

HULU LANGAT – “Kami sekeluarga sangat bersyukur bila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini tamat.”

Luah seorang penduduk di Kampung Batu 24 Sungai Lui, Nur Izzah Ezwanie Roshaizad, 30, sewaktu menceritakan pengalamannya ketika berdepan dengan pelaksanaan PKPD selama 14 hari sebelum ini.

Menurut Nur Izzah, dia tidak sempat membeli stok barangan keperluan harian berikutan penguatkuasaan arahan PKPD tersebut terus bermula pada hari sama.

“Bayangkan, selepas pengumuman, malam itu terus kawasan ini ditutup dan tiada mana-mana pihak dibenarkan keluar atau masuk.

“Malah barangan di kedai-kedai berhampiran juga semuanya habis di borong oleh orang ramai. Sebab itu bila PKPD tamat, kami amat syukur walaupun masih perlu mengharungi PKP.

“Ini kerana sekurang-kurangnya ketua keluarga dapat dibenarkan keluar waktu ini berbanding PKPD,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, tujuh kampung di Hulu Langat iaitu Kampung Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai dikenakan PKPD bermula 30 Mac lalu hingga 13 April.

Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia sekeluarga juga terpaksa berjimat-cermat menggunakan bantuan yang diberikan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga tempoh PKPD tamat.

“Kami juga bernasib baik kerana jiran-jiran amat prihatin dan sering membantu memberi pinjam apa-apa barang semasa PKPD ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Izzah turut meminta orang ramai mematuhi arahan PKP yang memasuki fasa ketiga dan mengambil iktibar daripada pengalaman penduduk berdepan PKPD.

“Ini perkara serius dan semua pihak perlu patuh arahan pihak berkuasa. Mungkin mereka belum rasa pengalaman macam mana peritnya menghadapi PKPD,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat