“Saya Demokrat Bukan Royalist Atau Tegar UMNO” – Shahrir

KUALA LUMPUR- Tan Sri Shahrir Samad melabel dirinya bukan “royalist” mahupun tegar UMNO, sebaliknya berpegangn kepada prinsip seorang demokrat.

Veteran UMNO semalam mengakui malu dengan polemik yang menimpa UMNO Johor membabitkan jawatan Menteri Besar Johor.

“Apabila saya menyatakan saya malu untuk menghadiri Perhimpunan Agong UMNO (PAU) berikutan pengenepian Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor selepas kemenangan besar BN di PRN Johor, saya ditanya mengapa saya macam menyoalkan kuasa Raja untuk menentukan siapa yang dalam pertimbangan Tuanku layak memegang jawatan itu.

“Tan Sri tak berpihak kepada kuasa Raja ke?” Saya jawab: “Dalam soal hubungan antara parti dengan Raja, saya mempunyai pendirian saya sendiri. Tidak setiap masa, saya menyokong parti dalam soal ini dan tidak setiap masa, saya menyokong Raja pula,” tegasnya.

Shahrir turut memberi contoh sewaktu krisis perlembagaan berikutan Yang DiPertuan Agong tidak berkenan kepada undang-undang yang telah Parlimen luluskan, ketika itu beliau bersama parti.

“Apabila parti pula nak mansuhkan Timbalan Setia Johor, iaitu JMF, saya melobi Datuk Ghani Othman untuk minta ditarik bali rang undang-undang itu. Maka selamatlah suatu warisan negeri Johor.

“Semasa diarahkan parti kepada kerajaan negeri supaya Almarhum Sultan Iskandar dipulaukan, saya bawa jawatankuasa bahagian UMNO Johor untuk berhari-raya dengan Almarhum Tuanku di Istana Bukit Serene.”

“Jadi, saya bukan “royalist” atau tegar UMNO. Saya ada prinsip saya sendiri sebagai seorang demokrat. Itu je. Tak de apa-apa kepentingan,” bidas Shahrir.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, beliau juga berasa malu untuk menghadiri PAU yang bermula Rabu walaupun dijadualkan menjadi jurucakap UMNO Johor.

“Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Seri Hasni Mohammad.

“Sepanjang kempen saya ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai MB (Menteri Besar). UMNO pula sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai MB.

“Tapi itu tidak cukup kuat dan UMNO Johor tidak mampu lakukan apa-apa. Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia hujung minggu ni.

“Boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana UMNO Johor,” katanya di Facebook.