KUALA LUMPUR 16 Mac – RHB Investment Bank Berhad percaya penganugerahan kontrak bernilai RM61.5 juta kepada anak syarikat Ranhill Utilities Berhad, Ranhill Water Services Sdn. Bhd. (RWS) bagi kerja-kerja menggantikan paip lama di Kelantan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan.

Firma penyelidikan itu menjangkakan risiko pelaksanaan yang minima oleh RWS bagi projek berkenaan kerana mereka sebelum ini berjaya meraih kontrak penggantian paip Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melalui tender terbuka yang kompetitif pada 2019.

Sejak mula aktif dengan projek bekalan air di Kelantan sejak 2012, mereka juga berjaya mendapatkan tiga kontrak pengurusan air bukan hasil (NRW) daripada Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran negara.

“Kami menaikkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY2022 hingga FY2024 sebanyak 7%, 13% dan 2% selepas mengambil kira penganugerahan kontrak baharu itu,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Projek yang dijangka bermula pada 29 Mac 2022 dan siap pada 28 Mac 2024 itu melibatkan kerja-kerja mengumpul, menghantar, membina, memasang dan menyiapkan kerja-kerja penggantian paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) dan keluli lembut sepanjang 103 km di daerah Kota Bharu Timur, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.

Pada masa sama, firma penyelidikan itu, menjangkakan peningkatan lebih 50% keuntungan bersih FY2022 dipacu oleh sumber pendapatan baharu daripada segmen perkhidmatan (Ranhill Bersekutu dan Ranhill Worley).

Katanya terdapat beberapa faktor menjadi pemangkin penarafan yang berpotensi untuk kumpulan itu termasuk kenaikan kadar yang lebih tinggi untuk operasi air di Johor, hasil positif daripada rancangan pengembangan di ASEAN selain projek berkaitan air dan tenaga yang boleh diperbaharui.

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ untuk saham Ranhill dengan sasaran harga (TP) kekal RM0.76,” katanya. – DagangNews.com