Onn Hafiz Hargai Pengorbanan Hasni

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor yang baru, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghargai pengorbanan pendahulunya, Datuk Hasni Mohammad memberi ruang kepada orang muda memimpin negeri itu.

Onn Hafiz yang juga ADUN Machap itu berkata, pengorbanan yang dilakukan Hasni memberi ruang kepada orang muda bagi memimpin Negeri Johor sesungguhnya bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa Negarawan beliau.

Tetapi ujarnya juga membuktikan bahawa Hasni meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Negeri Johor.

“InsyaAllah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau (Hasni) yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

“Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Onn menambah beliau mengucapkan jutaan terima kasih khas kepada Hasni Mohammad, selaku bekas Menteri Besar Johor atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepimpinan beliau bagi menstabilkan Negeri Johor yang disayangi, dan juga kepadanya secara peribadi selama ini.

“Kepada Bangsa Johor yang disayangi, InsyaAllah, segala janji yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) akan saya usaha untuk ditunaikan dengan sebaik mungkin.

“Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya – bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini,” ucapnya.

Sementara itu, Onn Hafiz juga memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan diatur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan Negeri ini dan setiap dari rakyatnya.

“Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua.

“Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Onn Hafiz juga merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim atas perkenan Tuanku melantik patik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.

“Patik sesungguhnya merasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan.

“Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan patik galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri dan Bangsa Johor.

“Patik juga menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, yang turut berangkat bersama. Patik menjunjung kasih diatas segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga saya zahirkan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Penasihat BN,Datuk Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri Malaysia, Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor serta seluruh jentera Barisan Nasional atas segala sokongan yang diberikan,” ucap beliau.

Semalam, ADUN Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di Istana Bukit Serene.

Beliau ialah cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar.