400 Penduduk Dipindahkan Kerana Pencemaran Udara

- Advertisement -

NIBONG TEBAL – Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru, di sini kerana berdepan masalah pencemaran udara.

Ia susulan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini yang berlaku sejak Rabu lalu dan hingga kini masih tidak dapat dipadamkan sepenuhnya.

Berikutan itu, usaha memindahkan penduduk yang terdiri daripada 86 keluarga membabitkan 400 individu itu akan dilakukan dengan segera.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam kenyataan memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan MPKK Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.

Selain itu, katanya JAS juga menempatkan stesen pengawasan kualiti mudah alih di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram.

“Berdasarkan pemantauan didapati terdapat kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan. Justeru, penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah buat sementara waktu.

“JAS akan terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mengadakan lawatan ke tapak pelupusan sampah terbabit petang tadi melahirkan rasa kesal dengan insiden berkenaan.

Beliau berharap pihak terbabit dapat meningkatkan lagi mutu pengurusan di kawasan itu selain kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan beberapa pihak lain demi menangani risiko pencemaran udara yang dihadapi penduduk sekitar kawasan itu.

Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang, Rabu lalu.

Anggaran keluasan yang terbabit dengan kebakaran adalah 6.5 hektar dan tindakan awal sudah diambil oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan membuat ‘fire break’ bagi mengelak api terus merebak. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat