Nahas Helikopter Taman Melawati: Hasil Siasatan Awal Sahkan Berlaku Perlanggaran – Menteri

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (BSKU) telahpun mengeluarkan laporan awal hasil siasatan pelanggaran di udara melibatkan dua helikopter, 9M-HCA dan 9M-HCB, pada 8 Nov di Taman Melawati, Kuala Lumpur, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Ini adalah laporan awal dan penyiasatan mengenai kemalanan tersebut masih lagi berjalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, dan memaklumkan laporan awal itu boleh didapati di laman sesawang Kementerian Pengangkutan.

Berdasarkan kepada sipnosis laporan awal itu, helikopter 9M-HCB yang terhempas di tepi jalan menyebabkan kematian kedua-dua penumpangnya, manakala 9M-HCA walaupun mengalami kerosakan, berjaya melakukan pendaratan cemas di padang sekolah berhampiran dengan kedua-dua penumpangnya tidak mengalami kecederaan.

Laporan itu menyebut, siasatan awal mengesahkan yang satu pelanggaran telah berlaku di udara.

Mengikut laporan itu data ADS-B menunjukkan yang kedua-dua helikopter itu bergerak dari Empangan Batu ke Klang Gates, dan ketika dalam laluan penerbangan itu mereka mengekalkan jarak antara 50 hingga 120 meter setiap masa, namun pada 11.44 pagi atas sebab yang masih tidak diketahui, helikopter itu mula mendekati dan berlanggar beberapa saat kemudian.

Penilaian visual di kawasan terhempas mendedahkan yang 9M-HCB turun pada sudut yang amat curam dan ini disahkan dengan kadar kejatuhannya dan kerosakan terhadap pokok berhampiran dengan titik impak.

Laporan itu menyatakan satu analisis lebih mendalam terhadap data ADS-B masih berterusan, dengan harapan lebih banyak perkara ditemui mengenai mengapa kedua-dua helikopter itu bertembung.

Juruterbang helikopter malang itu, komander (bersara) Mohamed Sabri Baharom, 56, dan penumpangnya ahli perniagaan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 42, meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airline Bhd Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan penumpangnya Tan Chai Eian, 51, terselamat apabila helikopter mereka berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan berhampiran.

Wee berkata, tujuan utama siasatan adalah untuk mengetahui keadaan dan penyebab kemalangan itu dengan sasaran untuk mengelakkan kemalangan seumpamanya berlaku di masa hadapan.

“Siasatan dilakukan bukan untuk mencari kesalahan atau liabiliti”, katanya.

Berdasarkan kepada laporan awal, Wee berkata, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan orang awam dan pemain industri penerbangan.

“CAAM pada masa ini melihat kepada latihan tambahan sebagai satu syarat untuk kelab dan operator persendirian. Ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kecekapan dalam kalangan peminat penerbangan,” katanya.

Wee berkata, CAAM akan memulakan kajian semula mengenai peraturan dan prosedur bagi mengenal pasti kekurangan yang ada dan memperbaikinya, bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang.

“Langkah ini meletakkan keselamatan semua peminat penerbangan sebagai keutamaan utama, tanpa mengganggu pengembangan perniagaan dan minat terhadap penerbangan awam,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,577FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat