MCMC diarah siasat laporan berita kononnya PM berubah pendirian terhadap Israel – Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneliti laporan berita yang memaparkan seolah-olah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berubah pendirian Malaysia terhadap Israel.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beliau meminta MCMC untuk meneliti kesahihan laporan berita berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Oh seolah-olah kita (Malaysia) telah berubah pendirian? Ya, saya akan minta MCMC untuk meneliti dan sekiranya ada tindakan yang boleh diambil berdasarkan undang-undang, maka kita ambil.

“Saya tegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang, terutama rakan-rakan media daripada membuat pelaporan tapi kita harus berhati-hati untuk melayan spekulasi ataupun menterjemah spekulasi seolah-olah ia adalah fakta.

“Jadi seringkali teguran dibuat tapi sekiranya perlu kita akan pertimbang tindakan lebih tegas

“(Buat masa ini) jadi, saya akan minta MCMC untuk teliti,” kata Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media pasca Kabinet di Putrajaya pada Jumaat.

Meskipun tidak menyebut secara terperinci namun dipercayai Fahmi merujuk portal MalaysiaNow yang melaporkan berita bertajuk “Anwar dikecam kerana akur Israel berhak wujud, ‘mempertahankan diri’ “.

Kandungan artikel itu menyebut, pemimpin pembangkang dan aktivis pro-Palestin melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima hak Israel untuk wujud dan untuk “mempertahankan diri” – dua tuntutan yang sering dibuat terhadap pemimpin Islam oleh kerajaan Barat yang menyokong rejim Zionis itu.

Ketika perbahasan Dewan Rakyat pada Khamis, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegur Anwar atas pendiriannya yang dinyatakan dalam wawancara bersama CNN baru-baru ini, apabila beliau ditanya mengenai konflik Palestin.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menggesa Anwar memperbetulkan kenyataan itu.

“Dalam keadaan sekarang ini Israel tidak ada hak untuk wujud dalam dunia ini pada hari ini,” kata Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas.

“Dalam suasana seperti hari ini – kezaliman dengan segala macam jenayah yang dilakukan oleh negara ini – maka kita minta supaya PM dapat mengulangi semula kenyataan yang lebih tegas bahawa apa yang diucapkan dalam wawancara itu tidak tepat dengan pendirian yang sepatutnya kita ungkapkan.”

Anwar, dalam wawancara bersama wartawan CNN Richard Quest, pada awalnya mengkritik sikap media Barat kerana menyebarkan naratif berat sebelah yang mengabaikan penjajahan rakyat Palestin.

Beliau kemudian ditanya sama ada menerima hak Israel untuk wujud dan mempertahankan diri.

CNN: Tetapi anda akan setuju bahawa, a) Israel berhak wujud.
Anwar: Ya, ya.
CNN: Dan b) Israel berhak mempertahankan dirinya.
Anwar: Ya.

Jawapan Anwar itu bercanggah dengan dasar kerajaan Malaysia yang selama ini tidak mengiktiraf negara Zionis itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat