KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, Pahang, semalam.
SPRM juga mengesyaki kegiatan itu dilindungi oleh pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.
Dalam serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh, agensi itu turut menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi berkenaan kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata dalam operasi itu pihaknya menyita wang tunai lebih RM26,000 bersama tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Berdasarkan risikan, kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh itu dipercayai dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sah di mana kebenaran hanya diberikan bagi memunggah hasil sedia ada yang digali sebelum 2022.
“Namun, siasatan yang dijalankan mendapati mereka turut melakukan kerja memunggah keluar hasil yang baru digali. Bagi melindungi kegiatan ini, beberapa pengusaha lori pengangkut bahan galian terbabit membayar wang rasuah kepada pegawai agensi berkenaan.
“Wang rasuah itu sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti berkenaan.
“SPRM kini masih di peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah rasuah itu,” katanya.
Azam berkata, pada hari sama pihaknya turut membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian di Jabor, Terengganu.
“Di lokasi ini, sebanyak empat unit jengkaut dan sebuah ‘shovel loader’ serta tujuh lori pengangkut termasuk lima lori ‘dumper’ diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu untuk tindakan siataan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.
“Selain sitaan di lokasi terbabit, sebanyak lapan unit lori pengangkut (tipper dumper) turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ia dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng,” katanya.
Sementara itu, Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an direman selama enam hari sehingga 19 November 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.
Semua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.