Pemuda UMNO bantah keputusan Peguam Negara untuk gugur larangan GEG

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh membantah keputusan Peguam Negara (AG) dan Kabinet yang memutuskan untuk menggugurkan peruntukan larangan tembakau dan vape generasi akhir (GEG) daripada Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023.

Beliau menegaskan bahawa memimpin bukan hanya perlu mengikut buku undang-undang,tetapi apa yang penting mesti ada naluri kemanusiaan.

“Untuk larang anak-anak kita yang lahir dari tahun 2007 untuk membeli dan menghisap rokok atau vape, Peguam Negara beritahu tidak mengikuti Perlembagaan.

“Saya nak tanya kepada Peguam Negara juga, adakah membenarkan rakyat kita menghisap rokok atau vape yang terbukti dari segi perubatan akan menyebabkan masalah kesihatan itu mengikut Perlembagaan?

“Adakah nasihat Peguam Negara sebelum ini yang menyatakan bahawa “GEG” ini mengikut Perlembagaan salah? soal Dr Akmal.

Tambah beliau lagi, jika kita tahu secara jelas perkara itu salah, maka tugas pemimpin adalah untuk memperbaikinya bukan hanya diam seribu bahasa.

“Memimpin ini bukan hanya perlu mengikut buku undang-undang,tetapi apa yang penting mesti ada naluri kemanusiaan

“Sebagai seorang doktor perubatan dan wakil rakyat,saya menyokong agar GEG ini dilaksanakan. Noktah!, tegas beliau.

Baru-baru ini, Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh melihat cadangan kohort atau larangan berdasarkan umur – bertujuan untuk mengharamkan produk tembakau dan vape bagi mereka yang lahir bermula 1 Januari 2007 – sebagai tidak berperlembagaan.

Rang undang-undang kawalan tembakau dan vape itu juga kekurangan sokongan Jabatan Peguam Negara (AGC), yang menganggap GEG melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.

“AGC berkata ia tidak berperlembagaan. Jika kerajaan berkeras mengenainya, kita perlu meminda Perlembagaan,” kata sumber kepada CodeBlue mengenai hasil dua mesyuarat Kabinet sejak dua minggu lalu yang membincangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam.

“Jabatan Peguam Negara berpendirian kuat, terutamanya mengenai Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Bagi mereka, akan ada dua set undang-undang untuk dua kumpulan rakyat berbeza berdasarkan umur,” katanya.

Berbeza dengan undang-undang semasa yang membenarkan 18 tahun untuk merokok, GEG berkaitan cadangan mengharamkan penjualan tembakau dan produk vape serta perbuatan merokok dan vape, bagi mereka yang dilahirkan pada atau selepas tahun tertentu, iaitu 2007, seumur hidup mereka.

April lalu, bekas Ketua Hakim Negara Zaki Azmi menggesa kerajaan untuk memisahkan GEG daripada Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam. Sepertimana AGC, beliau juga melihat larangan tembakau dan vape GEG itu berpotensi melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Kegagalan untuk membentangkan dan meluluskan rang undang-undang dalam apa jua bentuk pada akhir bulan ini bermakna e-rokok dan vape dengan nikotin boleh terus kekal sah untuk dijual kepada semua.

Ini termasuk kepada kanak-kanak bawah umur, sekurang-kurangnya satu tahun penuh – selepas Menteri Kesihatan iaitu Dr Zaliha, memveto bantahan sebulat suara Lembaga Racun, menyahkawal selia nikotin cecair sebagai racun berjadual daripada Akta Racun 1952, 31 Mac lalu.

Mahkamah Tinggi pada 6 Disember depan akan mendengar permohonan semakan kehakiman oleh tiga kumpulan masyarakat sivil, termasuk Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, untuk membatalkan pengecualian nikotin cecair daripada Senarai Racun.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat