Fokus Kepada Pasaran Timur, Revolusi Zuraida Di MPIC

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Beberapa minggu lepas di dalam sidang Parlimen Malaysia, apabila menjawab pertanyaan daripada salah seorang ahli Parlimen pembangkang, Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin telah menyatakan bahawa fokus baharu bagi produk minyak sawit negara kini tertumpu kepada pasaran timur.

Ini merupakan satu keputusan yang amat baik kerana sebelum ini kita begitu teruja untuk diterima oleh pasaran barat, sungguhpun mendapat tentangan hebat daripada penguasa dan aktivis di Amerika Syarikat & Kesatuan Eropah, antara lain disebabkan tuduhan mereka yang mengatakan produk minyak sawit negara mengundang masalah kesihatan dan merosakkan alam sekitar.

Isu sebenar di sini bukanlah pencemaran ataupun masalah kesihatan, tetapi tentangan terhadap produk minyak sawit ini berpunca daripada usaha negara-negara seperti Amerika Syarikat & Kesatuan Eropah untuk melindungi produk keluaran mereka sendiri.

Pada mulanya, di awal tahun 2000, kita melihat kumpulan syarikat agrikultur korporat barat menggunakan hasil “kajian” daripada sarjana berbayar mereka untuk menidakkan kebaikkan menggunakan produk sawit. Sehingga terbitnya beberapa siri laporan yang telah menyatakan bahawa jika seseorang itu menggunakan minyak sawit sebagai bahan masakan, ia akan meningkatkan risiko serangan jantung dan juga kanser.

Namun begitu, tuduhan-tuduhan yang tidak berasas ini akhirnya dipatahkan, apabila para pengkaji dari kalangan ahli akademik yang bebas dari pengaruh konglomerat perladangan barat menjalankan kajian secara telus mengenai produk sawit, terutamanya yang dikeluarkan oleh Malaysia.

Pada tahun 2015 sebuah artikel yang dikeluarkan oleh journal Food and Functions telah menyatakan ujian klinikal yang dijalankan ke atas produk sawit Malaysia dan Indonesia boleh mengurangkan kadar kolestrol di dalam tubuh manusia sehingga 15 peratus.

Malah, minyak sawit juga jelas tidak mengandungi sebarang lemak trans (trans fats) sepertimana dalam kajian The American Journal of Clinical Nutrition yang telah menunjukkan bahawa penggunaan minyak sawit di dalam diet harian seseorang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan berupaya untuk meningkatkan pengaliran darah normal.

Banyak bukti-bukti yang menunjukkan minyak sawit adalah antara produk makanan sihat yang boleh dikonsumsi oleh setiap manusia. Oleh yang demikian, tuduhan negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tentang bahaya minyak sawit dan pelbagai lagi sisi negatif mengenai perladangan dan industri sawit adalah suatu perkara yang amat salah dan tidak benar.

Ini termasuk tuduhan yang mengatakan perladangan sawit menyebabkan kerosakan alam sekitar dan terhapusnya hidupan liar. Sepertimana yang kita tahu, syarikat-syarikat yang mempunyai ladang sawit perlu mengikuti peraturan dan SOP yang ketat untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti perladangan di negara ini.

Setiap kawasan yang dibuka dan dibersihkan untuk penanaman pokok sawit perlu menepati pelbagai piawaian yang amat ketat bagi memastikan alam sekitar dan hidupan-hidupan liar terus terpelihara.

Untuk memastikan iltizam pemuliharaan alam sekitar ini tercapai, Malaysia telah memperkenalkan satu sistem pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang menetapkan piawaian antarabangsa bagi memastikan perladangan sawit dilaksanakan dengan kaedah mampan dan mesra alam.

Pensijilan MSPO ini akan meningkatkan standard pengurusan ladang, mempromosikan pengurusan hutan mampan, peningkatan biodiversiti, pematuhan terhadap aspek perundangan dan juga akses kepada pasaran baharu.

Fokus Kepada India & China:

Malaysia telah membelanjakan jutaan ringgit bagi tujuan promosi untuk memastikan produk sawit negara ini diterima di pasaran negara-negara barat, terutamanya bagi Amerika Syarikat yang menjadi pengimport ke-tujuh terbesar dunia. Ini belum lagi dikira perbelanjaan promosi yang melibatkan negara-negara Kesatuan Eropah yang turut menjadi pengguna produk sawit yang besar.

Melihat keangkuhan negara barat seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang sentiasa memandang rendah kepada keupayaan produk sawit pada ketika ini, langkah yang diambil oleh Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi Malaysia, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin untuk mengubah fokus pemasaran kepada negara-negara timur merupakan satu langkah progresif dan tepat.

Pada tahun 2020, dilaporkan tiga negara terbesar yang menjadi pengguna minyak sawit adalah India dengan jumlah import sebanyak US$5.1 billion (15.1%), China US$4.1 billion (12.2%) dan Pakistan US$2.1 billion (6.2%).

Ini belum lagi dikira jumlah import produk sawit di negara-negara Asia lain yang menunjukkan peningkatan jumlah import bermula dari tahun 2018. Sudah tentu untuk memfokuskan kepada pasaran Asia adalah satu keputusan yang terbaik berbanding dengan terus memujuk negara-negara barat yang begitu tegar untuk memboikot produk sawit secara terang-terangan.

China yang merupakan antara pelabur langsung asing (Foreign Direct Investment) terbesar Malaysia pada tahun 2020 telah memperakui pensijilan MSPO. Ini merupakan satu berita yang amat baik, kerana dengan pasaran China yang sebegitu luar, Malaysia akan dapat meningkatkan lagi jumlah eksport minyak sawit ke pasaran negara kuasa besar tersebut.

Sekiranya Malaysia dapat mengekalkan jumlah eksport yang tinggi di negara-negara seperti China, India dan negara Asia lain, sudah tentu kita tidak memerlukan pasaran barat yang sentiasa prejudis terhadap produk sawit tempatan.

Kita menjangkakan dengan sokongan negara-negara timur, pasaran sawit tempatan akan lebih berdaya saing dan maju. Ditambah lagi dengan kepimpinan Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi yang diterajui oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, kita yakin bahawa pertumbuhan mampan industri ini akan terus berkembang pesat dan mencapai aras yang lebih tinggi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat