Kerajaan konsisten perkasa ekonomi digital – Mustapa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited meneruskan pemerkasaan ekonomi digital melalui peningkatan kualiti kesalinghubungan negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini telah mempengerusikan mesyuarat keempat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, menerusi sidang video.

“Dalam perutusan pembukaannya, Perdana Menteri menekankan tentang kepentingan kesalinghubungan digital yang kini menjadi satu keperluan asas bagi segenap lapisan masyarakat. Ekosistem yang mampan dan menyeluruh adalah penting bagi merancakkan Ekonomi Digital yang boleh memperkasakan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Memandangkan pentingnya ekonomi digital, beliau juga telah memutuskan supaya pencapaian inisiatif-inisiatif MyDIGITAL dijadikan sebagai key performance indicator (KPI) untuk Menteri-Menteri dan Ketua Jabatan,” kata Mustapa dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, Belanjawan 2022 yang telah dibentangkan baru-baru ini memberi fokus kepada 3M iaitu memulih kehidupan (recovery); membina semula daya tahan (resilience) dan memangkin pembaharuan (reform). Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi meneruskan usaha sedia ada dan juga mencadangkan projek-projek yang menyokong usaha-usaha 3M yang dapat menghidupkan semula sektor-sektor yang terkesan pasca pandemik Covid-19 dan memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.

Menurut beliau, digital adalah satu asas yang penting dalam mencapai matlamat Keluarga Malaysia yang makmur dan mapan.

Mustapa turut menerangkan perincian mesyuarat dengan beberapa keputusan yang telah dicapai.

“Selama 25 tahun, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), menerusi inisiatif MSC Malaysia, telah berjaya meningkatkan sumbangan ekonomi digital dari sifar peratus kepada lebih daripada 20 peratus kepada KDNK menjelang 2021. Setakat 31 Disember 2020, MSC Malaysia telah membantu negara meraih pelaburan berjumlah lebih RM384 bilion dan pendapatan berjumlah RM588 bilion. Ia juga berjaya mewujudkan 184,030 pekerjaan berkemahiran tinggi, selain 72 buah bandar siber dan 22 buah Hab Digital Malaysia (MDH) di seluruh negara.

” Menerusi inisiatif ini, Malaysia telah berkembang menjadi kuasa ekonomi digital global, di mana berjaya berada di kedudukan 3 terbaik dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global oleh Kearney sejak 2004.

“Oleh itu, usaha mendigitalkan ekonomi rakyat dan merakyatkan ekonomi digital akan diteruskan. MSC 2.0 akan diperkenalkan dengan penjenamaan serba baharu dan akan ditambah baik sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan menangani jurang sedia ada, mendepani cabaran dan kekangan semasa serta meningkatkan tawaran nilai Malaysia dalam menarik lebih banyak pelaburan digital ke seluruh negara.

“Selain itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi Cradle Fund Sdn. Bhd (CFSB) menyelaras dan memantau pelaksanaan Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) 2021-2030 melalui platform MYStartup dalam usaha meletakkan Malaysia di kedudukan 20 teratas dalam ekosistem startup global menjelang tahun 2030,” katanya.

Mustapa juga memberitahu, Kerajaan berpuas hati dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengikut jadual. Sehingga suku ketiga 2021, 6.427 juta premis mendapat liputan gentian optik, purata kelajuan jalur lebar mudah alih ditingkatkan kepada 31.34 Mbps dan liputan 4G meningkat kepada 94.03 peratus di kawasan berpenduduk.

” Perkembangan positif ini selari dengan Aspirasi Negara menjelang 2025 untuk memastikan 9 juta premis mempunyai akses gentian optik, kelajuan Internet 100Mbps melalui teknologi 5G, serta 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk. Rangkaian 5G di seluruh Malaysia akan dilaksanakan secara agresif bertujuan mencapai sasaran liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2024.

” Ini bagi memastikan Malaysia kembali setanding dengan negara-negara jiran dalam masa terdekat. Belanjawan 2022 menumpukan berbelanjaan kepada insentif untuk mendorong adaptasi teknologi digital oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutamanya yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” jelasnya.

Kata Mustapa lagi, peruntukan RM 25 juta diberikan kepada Halal Development Corporation untuk program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS; dan RM200 juta untuk inisiatif Skim Geran Pendigitalan PKS dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar. Selain itu, MCMC juga menjadikan 600 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sebagai pusat sehenti untuk mendorong usahawan mikro beralih kepada pendigitalan.

“Oleh itu, MyDIGITAL Corporation (Strategic Change Management Office -SCMO) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), MDEC, MCMC serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 pada 21 hingga 23 November 2021. Majlis Pelancaran akan dirasmikan di Bera, Pahang oleh Perdana Menteri.

” Program ini diadakan untuk berkongsi maklumat mengenai pakej rangsangan atau sokongan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak swasta, serta berkongsi pengalaman usahawan yang telah mencapai kejayaan dari bantuan-bantuan tersebut.

” Mesyuarat juga mengambil maklum kemajuan inisiatif yang dilaksanakan bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara oleh Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi pelaksana,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat